Amerika Syarikat Pindahkan Sistem Pertahanan Udara THAAD Kedua ke Israel

Laman web penjejak penerbangan menunjukkan sebuah pesawat C-5M Super Galaxy milik Tentera Udara Amerika Syarikat, yang merupakan pesawat pengangkut terbesar dalam perkhidmatannya, telah mendarat di Pangkalan Udara Nevatim di selatan Israel dan berada di situ selama kira-kira lapan jam sebelum berlepas semula.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Amerika Syarikat dilaporkan telah memindahkan sistem pertahanan peluru berpandu Terminal High Altitude Area Defense (THAAD) yang kedua ke Israel, pada ketika ketegangan dengan Iran semakin memuncak.
Saluran televisyen Arab Saudi Al-Hadath melaporkan bahawa pemindahan sistem pertahanan udara THAAD itu dipercayai dilakukan semalam.
Laman web penjejak penerbangan menunjukkan sebuah pesawat C-5M Super Galaxy milik Tentera Udara Amerika Syarikat, yang merupakan pesawat pengangkut terbesar dalam perkhidmatannya, telah mendarat di Pangkalan Udara Nevatim di selatan Israel dan berada di situ selama kira-kira lapan jam sebelum berlepas semula.
Sistem pertahanan peluru berpandu THAAD yang pertama telah dihantar ke Israel pada tahun lalu dan dianggarkan seramai 100 anggota tentera Amerika Syarikat telah ditempatkan di negara itu bagi mengendalikan sistem berkenaan, yang dianggap sebagai pelengkap kepada sistem pertahanan udara Patriot.
THAAD merupakan sistem anti-peluru berpandu yang canggih dan berteknologi tinggi.
Sistem THAAD yang ditempatkan di Israel telah digunakan untuk memintas serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh kumpulan bersenjata Houthi dari Yemen, termasuk dalam beberapa insiden terbaru kebelakangan ini.
Ketegangan di antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel semakin memuncak, dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump minggu lepas mengugut Iran dengan “pengeboman tidak pernah disaksikan sebelum ini” dan sekatan tambahan sekiranya Tehran gagal mencapai persetujuan dengan Washington berhubung program nuklearnya.

Sistem THAAD (Terminal High Altitude Area Defense) merupakan sistem pertahanan peluru berpandu berteknologi tinggi yang direka untuk memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik jarak pendek hingga sederhana ketika berada pada fasa terminal penerbangannya, iaitu ketika peluru berpandu tersebut menghampiri sasarannya.
Sistem ini beroperasi menggunakan konsep “hit-to-kill”, yang bermaksud ia memusnahkan sasaran dengan hentaman langsung menggunakan tenaga kinetik, tanpa perlu kepada kepala peledak bahan letupan.
THAAD berupaya memintas sasaran pada ketinggian antara 40 hingga 150 kilometer di luar atmosfera, sekaligus memberikan kelebihan strategik dalam mencegah ancaman peluru berpandu berbanding sistem pertahanan lain yang beroperasi di altitud lebih rendah.
Setiap unit THAAD terdiri daripada beberapa elemen utama termasuk pelancar mudah alih, radar pengesan AN/TPY-2 berkuasa tinggi, unit kawalan tembakan, serta kenderaan sokongan logistik.
Radar AN/TPY-2 yang digunakan dalam sistem ini mampu mengesan dan menjejak peluru berpandu sejauh lebih 1,000 kilometer, menjadikannya antara radar pertahanan balistik paling canggih di dunia.
The Terminal High Altitude Area Defense (THAAD).
THAAD X-Band Radar
Sistem ini direka untuk beroperasi secara autonomi atau berintegrasi dengan sistem pertahanan lain seperti Aegis BMD, sistem Patriot PAC-3, dan rangkaian pertahanan peluru berpandu bersepadu Amerika Syarikat dan sekutunya.
THAAD dibangunkan oleh syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin, dan kini beroperasi dengan Angkatan Tentera Amerika Syarikat.
Kelebihan utama THAAD ialah keupayaannya memberikan perlindungan luas terhadap kawasan strategik daripada serangan peluru berpandu balistik, sekaligus meningkatkan keupayaan pertahanan udara sesebuah negara pada tahap strategik dan operasional.
— DEFENCE SECURITY ASIA

AmerikaC-5IsraelTHAAD
Comments (0)
Add Comment