Amerika Jual 50 F-35 “Lightning” Bernilai US$10.4 Bln Kepada UAE

(DEFENSE SECURITY ASIA) – Jabatan Negara Amerika telah mengumumkan kemungkinan penjualan kira-kira 50 buah pesawat pejuang F-35 Lightning kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Nilai penjualan kesemua pesawat pejuang generasi ke-lima itu dianggarkan mencecah kira-kira US$10.4 billion (RM43 billion), menurut Defense Security Cooperation Agency (DSCA), sebuah agensi yang bernaung di bawah Pentagon.

DSCA berkata, penjualan itu turut melibatkan pelbagai kelengkapan yang datang bersama-sama pesawat pejuang itu, logistic, latihan dan Full Mission Trainer.

Pesawat pejuang F-35 Lightning. (sumber internet)

Pengumuman oleh Jabatan Negara dan DSCA itu menyusul kenyataan oleh Presiden Donald Trump bahawa Amerika Syarikat merancang untuk menjual pesawat pejuang F-35 Lightning kepada negara Timur Tengah itu.

“Mereka (UAE) mahu membeli pesawat pejuang F-35, kita sedang memikirkannya. Ia masih didalam kajian, “ kata Trump.

Pengumuman tentang kemungkinan penjualan pesawat F-35 kepada UAE itu hadir tidak lama selepas negara Arab dan Israel menandatangani perjanjian untuk mewujudkan hubungan diplomatik.

Amerika di bawah Trump memainkan peranan “memujuk” negara-negara Arab dan Islam untuk “berdamai” dan mewujudkan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv.

UAE dan Israel mewujudkan hubungan diplomatik baru-baru ini.

Sebelum ini, Amerika tidak akan menjual pesawat pejuang F-35 kepada mana-mana negara Arab atau apa-apa sistem persenjataan yang sensitif jika ianya dibantah oleh Israel.

Rejim Yahudi itu bimbang sebarang penjualan senjata yang canggih kepada negara-negara akan mengikis kelebihan ketenteraan yang dimiliki selama ini.

Israel masih di dalam “state of war” dengan kebanyakkan negara-negara Arab, tetapi keadaan itu berubah sedikit demi sedikit apabila Trump memikul tampuk pemerintahan.

Selain UAE, Israel turut mewujudkan hubungan diplomatik dengan sebuah lagi negara Teluk iaitu Bahrain dan Sudan baru-baru ini, juga diatas desakan dan usaha pentadbiran Trump.

Pesawat pejuang F-35 Lightning. (sumber internet)

Selepas daripada persetujuan untuk berdamai dengan Israel, Sudan telah dikeluarkan daripada senarai negara-negara penganjur keganasan oleh Amerika Syarikat, kemungkinan sebagai “habuan” atas persetujuannya itu.

Kini, spekulasi semakin kuat mengatakan beberapa negara Arab lain akan mengikut jejak UAE dan Bahrain dalam mengiktiraf Israel.

Ia termasuklah Arab Saudi, yang dibawah pemerintahan Mohamad Bin Salman ini lebih liberal dan terbuka untuk menjalin hubungan dengan musuh ketat mereka iaitu, Israel.

Jikalau Arab Saudi menjalin hubungan diplomatik dengan Israel, banyak lagi negara Islam akan mengikut jejak langkahnya termasuklah Malaysia.

— DEFENCE SECURITY ASIA

AmerikaF-35SudanTrumpUAE
Comments (0)
Add Comment