Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TLDM Terima Kapal LMS Ketiga Daripada China

0 39

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal ketiga Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah selesai fasa pembinaan dan selamat diturunkan ke air di limbungan Wuchang Ship Building Industry Group Ltd (WSIG) di Wuhan, China pada 28 Okt lepas.

Kapal LMS ketiga TLDM itu akan menjalani akan menjalani fasa seterusnya iaitu Fasa Ujian Penerimaan di pelabuhan.

Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan kapal itu bakal menjalani beberapa siri ujian penerimaan di pelabuhan dan seterusnya Ujian Penerimaan di laut sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung September 2021.

LMS
Kapal ketiga Littoral Mission Ship milik TLDM. (sumber cawangan komunikasi TLDM)

“Kapal LMS Ketiga ini bakal menyertai Skuadron LMS Ke-11 bersama KD KERIS (LMS Pertama) dan SUNDANG (LMS Kedua), dan sebuah lagi kapal (LMS Keempat) dijangka akan dilancarkan pada November 2020.

“Bakal Warga Kapal (BWK) LMS Ketiga dijangka akan diatur gerak ke China bagi menjalani latihan penyesuaian pada Mei 2021 di China,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan upacara rasmi penamaan LMS Ketiga ditangguhkan dan akan dilaksanakan serentak dengan upacara penyerahan fizikal kapal itu yang dijadualkan pada September 2021 disebabkan penularan COVID-19.

Sehubungan itu, bagi penyerahan SUNDANG (LMS Kedua) yang dijadualkan pada 12 April 2020 turut terjejas susulan pandemik COVID-19 dan akan diserahkan kepada kerajaan apabila SUNDANG selesai menjalani latihan penyesuaian yang tertangguh di China.

LMS
Kapal ketiga Littoral Mission Ship milik TLDM. (sumber cawangan komunikasi TLDM)

Admin berharap kapal ketiga LMS TLDM ini tidak dibelenggu dengan masalah, sebagaimana dakwaan masalah yang dihadapi oleh KD Keris.

Baru-baru ini, majalah pertahanan antarabangsa, Janes dalam laporannya mendakwa TLDM telah mengesan beberapa kerosakan (deficiencies) pada KD Keris (LMS 111) yang baru diterimanya daripada China itu dan sedang berusaha untuk mengatasi masalah-masalah terbabit.

wuchang
Dimana terletaknya limbungan kapal Wuchang. (sumber internet)

Menurut Janes, TLDM sedang berbincang dengan beberapa kontraktor untuk menyelesaikan permasalahan itu.

Mereka juga berusaha untuk memastikan masalah yang sama tidak dihadapi oleh tiga buah kapal LMS yang kini sedang dibina di China pada ketika ini.

Menurut Janes, antara masalah yang dihadapi oleh KD Keris sebagaimana maklumat yang diberikan oleh sumber di dalam industri, adalah membabitkan sistem sensor dan sistem pengurusan kombat yang dibekalkan oleh syarikat daripada China.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...