Amerika Hantar Kapal Perangnya Ke Selat Taiwan, China Anggap “Provokasi”

Dalam reaksi segera, Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan membantah pelayaran kedua-dua kapal Amerika Syarikat di Selat Taiwan itu, menyifatkannya sebagai suatu tindakan provokatif terhadapnya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal perang dan sebuah kapal pengawal pantai Amerika Syarikat melakukan pelayaran di Selat Taiwan, tidak lama selepas China mengadakan latihan perang besar-besar di perairan berhampiran dan di Laut China Selatan.

Menurut kenyataan 7th Fleet Tentera Laut Amerika Syarikat, kedua-dua kapal itu dikenalpasti sebagai kapal destroyer kelas-Arleigh Burke “USS Kidd” (DDG-100) dan kapal pengawal pantai “USCG Munro” (WMSL-755).

“Kedua-dua kapal itu melakukan transit di Selat Taiwan bagi membuktikan komitment Amerika Syarikat terhadap kebebasan dan keterbukaan Indo-Pasifik. Pihak tentera Amerika Syarikat beroperasi di mana sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa.”

Kali terakhir kapal perang Amerika Syarikat belayar di Selat Taiwan pada bulan lepas oleh kapal perang, USS Benfold.

China menganggap sebarang pelayaran kapal-kapal perang Amerika Syarikat di Selat Taiwan itu sebagai suatu tindakan provokasi kerana ia menganggap pulau itu masih sebahagian daripada wilayahnya.

USS Kidd

 

Beijing tidak menolak melancarkan perang dalam usahanya untuk memastikan Taiwan itu kembali bergabung semula dan menjadi sebahagian daripada China.

Dalam reaksi segera, Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan membantah pelayaran kedua-dua kapal Amerika Syarikat di Selat Taiwan itu.

Ia menyifatkan pelayaran itu sebagai suatu tindakan provokatif dan membuktikan bahawa Amerika Syarikat merupakan ancaman terbesar kepada keamanan dan kestabilan serta pelaku risiko keselamatan di Selat Taiwan.

“Kita membantah dan mengutuk sekeras-kerasnya (tindakan pelayaran kapal-kapal Amerika Syarikat),” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan China itu.

Pelayaran kedua-dua kapal Amerika Syarikat di Selat Taiwan itu juga berlaku tidak lama selepas Naib Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris melakukan lawatan di rantau Asia Tenggara dengan melawat Singapura dan Vietnam.

Kapal-kapal pengawal pantai Amerika Syarikat dan Jepun dalam pelayaran bersama di Laut China Timur (East China Sea).

 

Ketika dalam ucapannya di Singapura dan Vietnam itu, Harris mengatakan Beijng terus menggunakan pendekatan intimidasi dengan mendakwa bahawa kuasa Asia itu memiliki sebahagian besar daripada perairan Laut China Selatan itu yang amat penting untuk perdagangan dunia.

“Tindakan Beijing telah mengenepikan orde yang berasaskan kepada undang-undang antarabangsa dan mengancam kedaulatan negara-negara lain. Amerika Syarikat berdiri bersama-sama sekutu dan rakan-rakan kami dalam berhadapan dengan ancaman ini (daripada China),” katanya.

Di Hanoi, Harris berkata, Amerika Syarikat dan rakan-rakanya perlu mencari jalan untuk memberi tekanan dan meningkatkannya supaya Beijing mematuhi UNCLOS (United Nations Convention on the Law of the Sea) dan menentang tindakannya yang suka membuli (negara-negara jirannya).

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Selat TaiwanUSCG MunroUSS Kidd
Comments (0)
Add Comment