Adakah Mereka Nelayan Atau “Militia Maritim”?

(DEFENCE SECURITY ASIA)Penahanan enam bot nelayan China bersama-sama 60 orang nelayan dan enam nakhoda negara Komunis itu di Tanjung Sedili  Jumaat lepas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)  telah menimbulkan beberapa persoalan.

Apa yang menarik adalah, penahanan bot-bot dan nelayan China itu berlaku beberapa hari sebelum Menteri Luar China Wang Yi mengunjungi Malaysia.

Adakah insiden penahanan enam bot nelayan China di Johor dan kunjungan Menteri Luar China itu ke Malaysia mempunyai sebarang kaitan ?

Adakah Wang Yi akan menyentuh tentang penahanan nelayan-nelayan China itu dalam perbincangannya dengan rakan sejawatnya daripada Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Hussein esok?

Menteri Luar China Wang Yi

Secara hakikatnya, isu bot-bot nelayan itu adalah terlalu kecil untuk dibincangkan oleh kedua-dua Menteri Luar, kecuali jika apa yang ditahan oleh APMM dua hari lepas itu bukanlah bot nelayan.

Jika ia bukan bot nelayan, bot-bot apakah itu?

Pada ketika banyak negara menggunakan “militia maritim” dalam melaksanakan kerja-kerja sebagai anggota para militari untuk menegakkan tuntutan mereka dalam sesuatu pertikaian maritim, maka siasatan lebih terperinci terhadap “nelayan” China yang ditahan itu perlu dilakukan dengan lebih mendalam.

Menurut penganalisis barat, China dan Vietnam banyak menggunakan khidmat “militia maritim” dalam pertikaian tentang Laut China Selatan.

Sebuah kapal China dipercayai “militia maritim” sedang mengiringi kapal penyelidik marin negara itu di Laut China Selatan. (sumber internet)

“Militia Maritim” yang menyamar sebagai nelayan akan bertindak sebagai “mata dan telinga” kepada negara mereka tetapi mampu bertindak agresif jika dicabar.

Ketika kapal penyelidik marin Hai Yang Di Zhi 8 belayar di Laut China Selatan, kapal itu bukan sahaja diiringi oleh kapal-kapal pengawal pantai China tetapi juga bot-bot kecil umpana bot-bot yang menurut pertubuhan bukan kerajaan, Asia Maritime Transparency Institute (AMTI) adalah “militia maritime.”

Bot-bot militia maritime ini boleh berada di sesuatu kedudukan sehingga berminggu hanya semata-mata untuk memerhati sasaran mereka.

Admin juga melihat kepada bentuk “bot-bot nelayan itu” yang ditahan oleh APMM itu, kerana ia tidak menyerupai bot nelayan biasa tetapi lebih kepada bot pelbagai guna. Adakah ia survey vessel? Wallahualam…..

Kapal “militia maritim”????

Tetapi itu hanyalah telahan admin, ia mungkin salah dan bot-bot yang ditahan oleh APMM itu sememangnya bot nelayan dan 60 orang itu adalah nelayan.

Maklumlah di China kini, kapal-kapal pengawal pantai China pun boleh mencapai berat sehingga 12,000 tan, menyamai berat sebuah kapal kelas destroyer atau cruiser milik Tentera Laut Amerika Syarikat.

Menurut laporan akhbar tempatan, bot-bot nelayan China itu sedang dalam pelayaran ke Mauritania di Afrika yang dianggarkan sejauh kira-kira 12,000km daripada Qinhuangdoa, utara China di mana bot-bot itu berdaftar.

Melihat kepada saiz bot-bot itu (sebagaimana gambar oleh APMM), admin juga musykil sama ada bot-bot itu berkemampuan untuk menempuh ombak-ombak gergasi di sepanjang  pelayaran sejauh itu ke benua Afrika itu.

Tiga daripada enam buah bot nelayan China yang ditahan oleh APMM di Tanjung Sedili tiga hari lepas. (gambar sumber APMM)

Menteri Luar China itu dijangka mengadakan pertemuan dengan Hishammuddin pada Selasa (esok).

Beliau juga dijangka membuat kunjungan hormat terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin esok.

Menurut kenyataan rasmi oleh Wisma Putra semalam, Wang Yi dan Hishammuddin akan mengadakan perbincangan berkenaan kerjasama pasca-wabak antara kedua-dua negara.

Kedua-dua mereka juga akan membincangkan usaha memulihkan kelestarian ekonomi negara dan langkah untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Mereka juga akan menyentuh mengenai isu-isu semasa membabitkan kepentingan bersama.

So sama-samalah kita menunggu hasil perbincangan antara Wang Yi dan Hishammuddin esok.

— DEFENCE SECURITY ASIA

APMMMalaysiaNelayanTanjung Sedili