Adakah China Anggap Perairan Utara Lautan Pasifik Adalah Miliknya?

Pelayaran dua buah kapal pengawal pantainya selama 31 hari itu telah dilaporkan oleh akhbar Parti Komunis China, “Global Times” hari ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua buah kapal pengawal pantai China dilaporkan telah meninggalkan pangkalannya di Shanghai semalam untuk melakukan tugas-tugas rondaan di utara perairan Lautan Pasifik bagi menguatkuasakan undang-undang perikanan dan maritim negara itu.

Pelayaran dua buah kapal pengawal pantainya selama 31 hari itu telah dilaporkan oleh akhbar Parti Komunis China, “Global Times” hari ini.

Adakah pelayaran kedua-dua buah kapal pengawal pantai China ini membawa makna bahawa perairan di utara Lautan Pasifik kini adalah milik China sehinggakan mana-mana kapal yang beroperasi di situ kena mematuhi undang-undang maritim negara itu.

Jikalau China tidak mahu menguatkuasa undang-undang maritimnya di perairan itu, buat apa ia mengerah kapal pengawal pantainya sehingga ke utara Lautan Pasifik?

Perairan utara Lautan Pasifik itu kalau mengikut maklumat awam adalah daripada garisan Khatulistiwa sehinggalah ke Artik.

Memang powerlah China ni kerana undang-undang maritim dia bukan sahaja dalam kawasan sempadan perairannya tetapi melangkau sampai ke perairan di Artik dan kawasan perairan sekitarnya.

Menurut Global Times itu lagi, kapal-kapal pengawal pantai China itu akan membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram dan untuk itu ia dibenarkan untuk menaiki bot-bot nelayan itu serta memeriksa mereka yang disyaki melakukan kesalahan.

Ia berkata, ini adalah pelayaran pertama kapal-kapal pengawal pantai China ke perairan utara Lautan Pasifik sejak Undang-Undang Pengawal Pantai China diluluskan tahun ini oleh Kongres Kebangsaan Rakyat China, yang merupakan badan pengubal undang-undang tertinggi negara itu.

Undang-Undang Pengawal Pantai China yang amat kontroversi itu memberi kebenaran kepada kapal-kapal pengawal pantai China untuk menembak mana-mana kapal asing (yang memasuki perairan yang didakwa sebagai miliki China).

Ia didakwa sebagai undang-undang yang “extra-territorial” kerana melangkaui sempadan negara.

Beting Patinggi Ali dan kedudukannya di perairan Sarawak.

 

Ia (undang-undang pengawal pantai) memberi kebenaran kepada China untuk “mengambil apa-apa tindakan bersesuaian) untuk menghentikan atau mencegah ancaman daripada kapal-kapal asing.

Selain itu, undang-undang terbabit juga membenarkan anggota pengawal pantai China untuk merobohkan apa-apa struktur yang dibina di atas terumbu yang didakwa China sebagai miliknya dan menaiki (boarding) serta memeriksa mana-mana kapal asing yang berada di perairan yang Beijing dakwa sebagai miliknya.

Undang-undang Pengawal Pantai China itu juga membenarkan pengwujudan “zon larangan” (exclusion zone) untuk mengelak kapal-kapal asing dan krew mereka daripada memasukinya.

Ok, bayangkan kapal-kapal atau nelayan kita yang mahu menangkap ikan di Beting Patinggi Ali atau Pulau Layang-Layang yang China dakwa sebagai milik mereka di bawah “Nine Dash Line.”

Di bawah Undang-Undang Pengawal Pantai China ini mereka boleh ditembak kerana memasuki perairan (yang didakwa) China sebagai miliknya.

Nelayan kita yang mahu ke Beting Patinggi Ali atau mana-mana pulau yang didakwa China sebagai miliknya (walaupun ia terletak di belakang rumah kita) boleh ditembak, ditangkap oleh anggota kapal-kapal pengawal pantai negara itu dan mungkin dibawa balik ke China untuk dibicarakan

DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaLautan PasifikPengawal Pantai