(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat dikatakan telah bertindak “menanggalkan” komponen-komponen sensitif daripada kereta kebal utama M1A1 Abrams sebelum kereta kebal itu dihantar ke Ukraine untuk berhadapan dengan tentera Russia.
Washington berbuat demikian bagi mengelak komponen-komponen senstitif itu jatuh ke tangan tentera Russia sekiranya kereta kebal M1A1 Abrams itu ditawan di medan konflik di Ukraine.
Menurut pegawai-pegawai tentera Amerika yang dipetik oleh akhbar USA Today berkata tindakan itu adalah untuk memastikan komponen sensitif milik kereta kebal utama Amerika Syarikat itu tidak dieksploitasi oleh pihak tentera Russia.
Amerika pada mulanya bercadang menghantar kereta kebal M1A2 Abrams, tetapi menukar kepada varian M1A1 yang kurang canggih berbanding varian selepas itu.
Kedua-dua varian kereta kebal itu menggunakan meriam 120mm yang sama tetapi varian M1A1 memiliki beberapa penambahbaikkan termasuk di dalam sistem pembidik sasarannya.
Sebagaimana sistem-sistem persenjataannya yang lain, Amerika “menyimpan” teknologi terkini untuk anggota tenteranya manakala untuk sekutu dan pelanggannya, ia memberikan teknologi yang tidak secanggih dimiliki oleh anggota tenteranya.
Pada Januari, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mengumumkan rancangan untuk menghantar sebanyak 31 buah kereta kebal M1A2 Abrams ke Ukraine selepas diminta selama berbulan-bulan oleh Ukraine.
Kiev mahu kereta kebal moden untuk merampas kembali wilayah yang berjaya ditawan oleh tentera Russia sejak bermulanya konflik antara kedua negara tercetus pada Februari tahun lepas.
Serangan balas besar-besaran Ukraine terhadap tentera Russia dijangka bermula dalam beberapa minggu ini pada musim bunga.
Pada Mac, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat berkata mereka akan mempercepatkan penghantaran kereta kebal Abrams ke Ukraine, tetapi memilih varian M1A1 dengan alasan varian kereta kebal itu lebih cepat diselenggara/dipulihkan.
Selain kereta-kereta kebal M1A1 Abrams yang dijangka diterima oleh Ukraine tidak lama lagi, Kiev juga dikatakan telah menerima sebahagian kecil kereta-kereta kebal varian terawal Leopard daripada beberapa negara Eropah.
Beberapa negara Eropah telah berikrar untuk membekalkan Ukraine dengan kereta-kereta kebal Barat seperti empat buah kereta kebal Challenger 2 daripada Britain manakala Poland pula sedang berusaha untuk menyerahkan 14 buah kereta kebal Leopard 2 daripada simpanannya.
Kanada pula berikrar akan memberikan empat buah kereta kebal Leopard 2 manakala Portugal pula akan menyerahkan tiga buah kereta kebal Leopard 2A6, Norway pula menyatakan ia akan menyerahkan lapan buah kereta kebal tetapi tidak menyatakan bila.
Finland juga bercadang menyerahkan beberapa buah kereta kebal Leopard manakala Denmark dan Netherlands pula enggan menyerahkan varian kereta kebal Leopard 2 yang lebih moden kepada Ukraine, sebagaimana didakwa oleh media Jerman.
Jerman juga menyatakan ia akan hanya menghantar 14 buah kereta kebal Leopard 2A6. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com