Pesawat Airbus A400M TUDM Sebagai Pesawat “Air-to-Air Refuelling” (AAR)

Ia menjadikan TUDM sebagai operator pesawat pengangkut A400M yang pertama memiliki kemampuan sedemikian. (mungkin bukan semua pesawat A400M TUDM akan dilengkapi dengan kemampuan terbabit).

DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada tahun depan, pesawat pengangkut strategik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu A400M “Grizzly” bakal dilengkapi dengan kemampuan untuk melaksanakan operasi pengisian minyak di udara (air-to-air refuelling – AAR).

Ia menjadikan TUDM sebagai operator pesawat pengangkut A400M yang pertama memiliki kemampuan sedemikian. (mungkin bukan semua pesawat A400M TUDM akan dilengkapi dengan kemampuan terbabit).

“Dikalangan operator-operator (A400M) yang lain, pesawat A400M TUDM adalah operator pertama yang ditauliahkan untuk melaksanakan pengisian minyak di udara sebagai ‘force multiplier’ terutamanya kepada operasi pesawat-pesawat pejuang kita.”

“Dijangkakan kemampuan (AAR) itu akan dicapai pada tahun 2022 apabila program retrofit (terhadap pesawat A400M TUDM) yang sedang berjalan sekarang di kemudahan syarikat Airbus di Seville, Sepanyol itu selesai,”

— Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad

Dengan kemampuan pengisian minyak di udara, pesawat-pesawat pejuang TUDM seperti Sukhoi Su-30MKM atau F/A-18D Hornet dapat beroperasi pada jarak yang lebih jauh tanpa perlu mendarat di pangkalan untuk mengisi minyak.

Menurut panglima lagi, pesawat pengangkut A400M itu direkabentuk dan dibangunkan sebagai “single type/multi role air mobility platform.”

Fungsi utama pesawat A400M TUDM sebagai pesawat pengangkut strategik disebabkan kemampuannya untuk terbang jauh dengan muatan yang besar, selain turut melaksanakan tugas sebagai pengangkut taktikal.

TUDM memperoleh empat buah pesawat pengangkut strategik Airbus A400M, menjadikan angkatan udara itu satu-satunya di Asia Tenggara yang memiliki pesawat itu.

Bagaimanapun terdapat juga laporan mengatakan Indonesia dan Singapura turut menunjukkan minat untuk memperoleh pesawat pengangkut itu.

Sementara dalam temuramah yang sama dengan majalah ADJ itu, Ackbal turut berkata, usaha mencari pengganti pesawat pengangkut taktikal yang baru akan hanya berlaku pada Rancangan Malaysia ke-16. (lama lagi).

Buat masa ini, pihak TUDM sedang berusaha memastikan pesawat pengangkut taktikal sentiasa relevan dan terkini dengan keperluan dan taktik.

Salah satu usaha adalah dengan program menaiktaraf avionik untuk meningkatkan pesawat-pesawat C-130H TUDM bagi memastikan ia mampu terus beroperasi sehingga tahun 2040.

Beliau juga berkata pesawat C-130J merupakan calon yang kuat (untuk memasuki perkhidmatan pengangkut taktikal TUDM) berikutan komponennya yang sama dengan pesawat C-130H yang dimiliki TUDM pada ketika ini.

Bagaimanapun, beliau berkata adalah terlalu awal untuk menentukan jenis pesawat pada ketika ini program penggantian plaform mobiliti udara dijadualkan berlaku pada RMK-16.

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

A400MAARAirbusTUDM
Comments (0)
Add Comment