China Umum Belanjawan Pertahanan Tahun Ini Pada US$209 Bilion (RM836 Bilion)

Walaupun begitu, ia masih ketinggalan berbanding belanjawan pertahanan Amerika Syarikat pada tahun ini yang mencecah US$740 bilion atau RM2.96 trilion.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China akan memperuntukkan US$209 bilion (RM836 bilion) bagi sector pertahanannya untuk tahun ini, suatu peningkatan sebanyak 6.8 peratus (US$179 bilion) berbanding pada tahun lepas.

Perkara itu diumumkan oleh kerajaan China pada National People Congress (NPC) yang memulakan sidang mereka pada Jumaat lepas.

Walaupun China akan membelanjakan US$209 bilion bagi pertahanannya pada tahun ini, namun sebenarnya ia masih jauh ketinggalan berbanding belanjawan pertahanan Amerika Syarikat yang mencecah kira-kira US$740 bilion pada 2021.

Di dalam matawang Ringgit, belanjawan pertahanan Amerika Syarikat itu berjumlah kira-kira RM2.96 trillion. Bagaimanapun ramai pemerhati mengatakan belanjawan pertahanan China sebenarnya bukan US$209 bilion tetapi adalah jauh lebih tinggi jika termasuk perbelanjaan-perbelanjaan tidak rasmi di luar belanjawan. Perbelanjaan-perbelanjaan tidak rasmi di luar belanjawan itu dilakukan secara rahsia, kata mereka.

Perdana Menteri China Li Keqiang berkata usaha memodenkan angkatan tentera China akan diteruskan menerusi apa yang disifatkannya “reform, science and technology and the training of capable personnel”, sebagaimana dipetik oleh agensi berita Reuters.

Pada tahun ini sahaja, China akan melancarkan kapal pengangkut pesawatnya yang ketiga.

Angkatan tenteranya adalah terbesar di dunia dengan kira-kira 2 juta tentera.

Beijing mensasarkan usaha-usaha pemodenan angkatan tenteranya akan berakhir pada tahun 2050 apabila ia mencapai taraf dunia, yang kebanyakkan pihak menyatakan bermaksudkan tentera China menyamai taraf tentera Amerika Syarikat.

— DEFENCE SECURITY ASIA

belanjawanChinapertahanan