Siapa “Curi” Minyak Syria?

Kumpulan militan Kurdish, Syrian Democratic Forces (SDF) dikatakan menguasai 70 peratus telaga minyak Syria dibantu oleh Amerika Syarikat.

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Pada pertengahan tahun lepas, sebuah syarikat minyak kurang dikenali Amerika Syarikat dikenali dengan nama “Delta Crescent Energy LLC” yang berdaftar di Delaware telah menandatangani perjanjian lumayan dengan pihak Kurdish.

Perjanjian rahsia yang dilakukan ketika pentadbiran Presiden Donald Trump itu memberikan kebenaran kepada syarikat Amerika Syarikat itu untuk membangunkan dan mengeksport minyak di utara Syria.

Apa yang menimbulkan syak-wasangka tentang syarikat yang hanya wujud pada 2019 adalah ia dikepalai oleh bekas-bekas diplomat dan pegawai tentera Amerika Syarikat, yang mempunyai “connection” dengan anggota penting pentadbiran Trump.

Kerajaan Bashar al-assad berang dengan perjanjian rahsia itu, dengan Menteri Luarnya mengatakan perjanjian itu bermatlamat untuk “mencuri” hasil minyak Syria. Kawasan di mana syarikat Amerika Syarikat itu ditugaskan untuk membawa keluar minyak itu dikawal oleh kumpulan bersenjata “Syrian Democratic Forces” yang merupakan sekutu utama Amerika didalam perang menentang kumpulan pengganas ISIS. Majoriti anggota SDF ini adalah daripada etnik Kurdish dengan militia YPG (kumpulan bersenjata Kurdish) mengetuainya.

Pada 2018, Syria dianggarkan memiliki rizab minyak sebanyak 2.5 billion tong dengan majority telaga-telaga minyaknya terletak di Deir az-zour dan Al-Hassakah.

Pada 2008,  telaga-telaga minyak negara Timur Tengah itu dipercayai menghasilkan  kira-kira 400,000 tong minyak sehari, yang jauh lebih rendah daripada apa yang dihasilkan oleh Arab Saudi yang mengeluarkan lebih 10 juta tong minyak sehari ini.

Namun dengan harga minya dunia kini mencecah US$65 satu tong (Brent Crude), memang menguntungkan, apatah lagi jika harga minyak melambung lebih daripada U$100 satu tong beberapa tahun dahulu.

Pada Oktober tahun lepas, Trump memutuskan untuk mengundurkan tentera Amerika daripada Syria tetapi tetap mengekalkan beberapa ratus anggota tentera di beberapa telaga minyak dengan alasan untuk memastikan telaga minyak itu tidak jatuh di tangan pengganas ISIS.

Alasan dangkal itu hanya menyakinkan bahawa ia sememangnya bersekongkol dengan pihak Kurdish iaitu SDF untuk “mencuri” minyak Syria.

Baru-baru ini, gabenor Al-Hasakah Ghassan Halim Khalil menuduh militant SDF dengan kerjasama syarikat dan tentera Amerika Syarikat mencuri kira-kira 140,000 tong minyak sehari daripada telaga minyak di Al-Hasakah.

Maklumat perisikan yang diterimanya mengatakan militant-militan SDF yang disokong oleh Amerika Syarikat menggunakan lori-lori tangki daripada kawasan Taramish di Tigris dan al-Malikiyah untuk menyeludup minyak Syria ke Iraq.

Laporan juga menunjukkan banyak daripada minyak-minyak itu dihantar ke kawasan-kawasan dibawah kekuasaan SDF di Syria.

Sesiapa yang menguasai telaga-telaga minyak di Syria mampu menjana keuntungan sebanyak US$40 juta sebulan menerusi penjualan minyak ke pihak-pihak luar. Lagi mahal harga minyak dunia, maka lagi “kembunglah” poket-poket  saudagar minyak Syria itu.

Sementara itu penolong setiausaha negara Amerika Syarikat, Jonathan Hoffman ketika dipetik sebagai berkata oleh BBC tidak lama dahulu berkata,  pihak yang paling banyak mengaut keuntungan daripada hasil minyak Syria ketika ini adalah kumpulan militant, SDF yang majoriti anggotanya adalah etnik Kurdish.

“SDF menguasai kira-kira 70 peratus daripada telaga-telaga minyak Syria,” menurut seorang lagi pakar Timur Tengah di Middle East Institute, Charles Lister.

Bagaimanapun, dengan kekalahan Trump pada pilihanraya presiden Januari lepas mungkin akan mengubah lanskap di kawasan-kawasan yang kaya dengan minyak di Syria.

Pada Februari lepas, jurucakap Pentagon John Kirby berkata, anggota tentera Amerika Syarikat di Syria tidak lagi dibenarkan untuk bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta atau mana-mana pihak untuk mengawal keselamatan telaga minyak.

Anggota tentera Amerika Syarikat hanya mempunyai satu matlamat di Syria iaitu memerangi saki-baki pengganas ISIS dan bukan untuk menjaga telaga-telaga minyak sebagaimana yang diarahkan oleh Presiden Trump, kata beliau.

Pada ketika ini terdapat kira-kira 900 anggota tentera Amerika Syarikat di Syria.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Al-HasakahDeir az-zourDonald TrumpMinyakSDFSyria