Kapal LMS Kedua TLDM, “Sundang” Selamat Tiba Di Pengkalan Kota Kinabalu

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia yang kedua, “Sundang” selamat tiba di Jeti Pangkalan TLDM Kota Kinabalu hari ini, selepas menempuh pelayaran selama tujuh hari daripada Qidong, Shanghai.

Ketibaan kapal LMS negara yang kedua itu telah disambut oleh  Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Sabri bin Zali serta barisan kepimpinan tertinggi di Armada Timur.

Gambar kredit TLDM.

Kesemua 45 krew “Sundang” terdiri daripada tujuh pegawai dan 38 anggota seterusnya akan menjalani kuarantin kendiri bermula hari ini setelah ujian saringan kesihatan dilaksanakan oleh pihak Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.

Menurut kenyataan TLDM hari ini, warga TLDM mendoakan agar kesemua krew bebas daripada sebarang gejala dan segala urusan dipermudahkan. Semoga upacara pentauliahan “Sundang” pada Februari nanti dapat dilaksanakan mengikut perancangan. “Sundang telah mula dibina pada 23 Oktober 2018 di Wuchuan Shuangliu Manufacture Base, Wuhan dan seterusnya dilancarkan isteri kepada mantan Penglima Angkatan Tentera ke 20, Puan Seri Rusnah A.Rahman pada 12 Julai 2019.

Gambar kredit TLDM.

“Sundang” pada mulanya dijadual diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 12 April 2020 namun ditangguhkan susulan penularan COVID-19 di seluruh dunia yang menyaksikan pembinaan Sundang terpaksa ditangguhkan pada 23 Januari tahun lepas.

Tambahnya, projek tersebut diaktifkan semula pada 18 Mei tahun  lepas dan bakal warga kapal “Sundang” telah dihantar semula ke Qidong, Shanghai pada Oktober lepas bagi menyambung semula siri latihan penyesuaian kapal yang tertangguh.

“Sundang” telah berjaya melepasi beberapa siri ujian penerimaan di pelabuhan dan laut sebelum diserahkan kepada kerajaan

LMS merupakan salah satu daripada lima kelas kapal di dalam Program Transformasi Armada 15to5 TLDM dan kontrak perolehan empat buah LMS telah dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd.

Kapal LMS pertama negara, “KD Keris” tiba di pengkalan TLDM Kota Kinabalu pada Januari tahun lepas.

TLDM dijangka menerima baki dua lagi kapal LMS pada Ogos serta November, tahun ini.

Kapal LMS kedua TLDM, “Sundang.” (gambar kredit TLDM)

 

— DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaKerisLittoral Mission ShipPangkalan TLDM Kota KinabaluSundangTLDMWuchang Shipyard
Comments (0)
Add Comment