Xinjiang, Antara Limpahan Kekayaan Alam Dan Penindasan

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Apabila kita berbincang tentang Wilayah Autonomi Xinjiang di China, fokus utama kita tidak lain adalah terhadap penindasan yang dilakukan oleh pentadbiran Beijing terhadap masyarkat etnik Uighur yang beragama Islam.

Nasib yang menimpa etnik Uighur di Xinjiang adalah amat malang kerana Wilayah Autonomi Xinjiang bukanlah wilayah yang miskin dan tandus, tetapi ia adalah sebuah wilayah yang dikurniakan dengan pelbagai sumber kekayaan alam terutamanya minyak dan gas serta arang batu.

Masyarakat Uighur di Wilayah Autonomi Xinjiang dikenali sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran agama.

Masyarakat Uighur di Xinjiang sepatutnya telah lama maju ke depan dengan penduduknya menikmati kekayaan daripada sumber asli mereka, bukan direjam dengan pelbagai episod kekejaman dan penindasan.

Bukan sahaja mereka dinafikan daripada menikmati sumber asli wilayah mereka sendiri, tetapi etnik Uighur ditekan dengan kejam daripada setiap sudut, terbaru adalah laporan daripada suruhanjaya berkecuali di Amerika Syarikat iaitu “Congressional Executive Commission on China (CECC)” atau “Suruhanjaya Eksekutif Kongres Tentang China” yang mengatakan China berkemungkinan telah melakukan pembunuhan beramai-ramai (genocide) terhadap etnik Uighur dan lain-lain minoriti Islam di Xinjiang.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 1 juta etnik Uighur dikurung di dalam “pusat-pusat vokasional” di seluruh Xinjiang.

Kekejaman yang berlaku di Xinjiang itu amat tidak selari dengan kedudukan wilayah itu yang dilimpahi dengan pelbagai sumber kekayaan terutamanya minyak dan gas.

Penduduk Xinjiang telah lama mengetahui wilayah mereka itu amat kaya dengan minyak, lama sebelum ia bernaung di bawah Republik Rakyat China.

Seawal kurun ke-19, penduduk di Xinjiang telah mula mengangkut minyak asli di dalam baldi untuk menyalakan api di dapur serta tanglung bagi menerangi kegelapan di rumah, malah, kajian geologi sejak di zaman Qing (1644-1911) mengatakan bahawa minyak asli diketahui telah mengalir daripada rekahan-rekahan bumi di bumi bertuah Xinjiang itu.

Begitulah catatan sejarah yang merekodkan kekayaan wilayah Xinjiang dengan sumber minyaknya, malah wilayah bergolak ini juga adalah pengeluar gas asli kedua terbesar di China.

Di wilayah Xinjiang, dimana penduduk asalnya ditekan dengan begitu hebat oleh pemerintahnya, syarikat minyak negara itu, Petro China pada 2017 telah mengumumkan penemuan sebuah telaga minyak yang dikatakan antara terbesar pernah ditemuinya.

Ia dinamakan Lembangan Junggar atau “Junggar Basin.”

Telaga minyak mega itu dikatakan menyimpan rizab satu billion tong minyak yang bernilai berbillion dollar di pasaran dunia ketika ini.

Ada pakar juga berkata Lembangan Junggar ini menyimpan di antara empat hingga sembilan billion tong rizab minyak (lagi banyak), sekaligus menandakan kejayaan menemui telaga minyak mega di Xinjiang itu amat bermakna kepada China dan keselamatan bekalan tenaganya pada masa depan.

Ia akan mengurang kebergantungan China terhadap minyak import.

Lembangan Junggar adalah satu daripada beberapa kawasan yang kaya dengan sumber hidrokarbon di Wilayah Xinjiang, dengan yang lain termasuklah Telaga Minyak Tuha di Turpan dan Telaga Minyak Tarim di Lembangan Tarim.

Wilayah Xinjiang sememangnya kaya dengan minyak, dengan pakar-pakar antarabangsa menganggarkan di perut bumi Xinjiang sahaja tersimpan sebanyak 25 billion tan minyak asli yang jika diproses akan memberikan kekayaan kepada penduduknya selama beberapa generasi.

Selain minyak dan gas, Xinjiang juga kaya dengan arang batu.

Wilayah Xinjiang adalah pengeluar arang batu terbesar China dengan wilayah itu sahaja membekalkan kira-kira 40 peratus daripada keperluan arang batu negara Komunis itu.

Dilimpahi dengan sumber minyak, gas dan arang batu, maka Wilayah Xinjiang selayaknya diangkat sebagai pusat sumber tenaga China.

Dan kerajaan China juga telah melakukan pelaburan yang besar dalam usaha mereka untuk mengekploitasi sumber asli di Wilayah Xinjiang itu, dengan ratusan syarikat-syarikat milik negara China telah melabur berbillion dollar untuk mengambil peluang daripada kekayaan Wilayah Autonomi Xinjiang itu.

Namun apa yang diperolehi oleh penduduk asalnya pada masa inj hanyalah linangan air mata dan kesedihan berpanjangan.

Ada yang mengatakan, inilah yang dikatakan sebagai “Sumpahan Minyak” atau “The Oil Curse” yang sering menimpa negara/kawasan yang kaya dengan sumber asli itu.

Semoga masyarakat Islam Uighur tabah dalam menghadapi segala cabaran ini dan muncul dengan kekuatan baru.

— DEFENCE SECURITY ASIA

BeijingChinaGasJunggarMinyakTarimTurpanUighurXinjiang
Comments (0)
Add Comment