“Ugutan Pada Saya Bukan Benda Baharu” – Ketua Polis Johor

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  “Ugutan pada saya bukan benda baharu dan saya tidak ambil ringan ugutan seperti ini, sama ada secara peribadi  atau terhadap pegawai atau anggota,” kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau mengakui menerima ugutan bunuh kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) baru-baru ini.

Ugutan itu kata Ketua Polis Johor itu diterima pihaknya melalui panggilan telefon yang dibuat seorang individu tidak dikenali kepada seorang pegawainya, dua minggu lalu.

Individu dipercayai warga tempatan itu memberitahu ada tiga ahli LTTE dari Selangor akan ke Johor untuk membunuh beliau. Menurut Ayob Khan pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci mengenai ugutan bunuh itu. “Kita akan jalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti suspek terlibat dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya dalam sidang media di Johor Baharu hari ini.

Beberapa hari lepas, Ketua Polis Johor itu mendedahkan dirinya menerima ugutan bunuh oleh kumpulan berkenaan dalam satu program yang dianjurkan sebuah agensi media tempatan.

Polis Johor akan bekerjasama dengan polis Selangor untuk menjalankan siasatan berhubung ugutan diterimanya itu.

Pihaknya menurut beliau sendiri tidak pasti mengapa ugutan terhadapnya itu dibuat sedangkan beliau sudah tidak menjawat jawatan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.

“Saya sendiri tidak pasti sebab apa ugutan itu dibuat kerana saya sudah tinggalkan Bukit Aman sejak Februari lalu, jadi saya tidak tahu kenapa isu ini timbul kembali.

“Sehubungan itu kita akan bekerjasama dengan polis Selangor untuk menyiasat berhubung perkara ini,” katanya.

Ketua Polis Johor itu berkata tangkapan akan dibuat sekiranya suspek dikenal pasti.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Ayob KhanKetua Polis JohorLTTEPolis