Anggota PGA Ditahan Kerana Dipercayai Seludup PATI Di Sarawak

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Agensi berita nasional , Bernama hari ini melaporkan penahanan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana dipercayai cuba menyeludup masuk tiga pendatang asing izin melalui sempadan Kalimantan-Sarawak, di Tebakang.

Tebakang ini terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari Kuching.

Menurut Bernama, penahanan anggota PGA itu telah disahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail hari ini.

Menurut beliau, anggota polis itu bertugas di pos kawalan Ops Benteng di Tebedu. “Suspek ditahan bersama seorang wanita berusia 29 tahun, seorang budak perempuan berusia 13 tahun dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 23 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada agensi berita nasional itu.

Menurut Bernama lagi,  suspek mengaku melakukan kerja penghantaran rakyat Indonesia dengan bayaran tertentu mengikut trip perjalanan.

Sekiranya perkara ini benar-benar berlaku selepas penyiasatan penuh, maka ia adalah sesuatu yang amat malang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail. (foto internet)

Ini kerana di dalam satu segi, ada anggota kita yang terbunuh dalam mempertahankan sempadan negara daripada dibolosi tetapi pada masa yang sama ada yang bersubahat untuk memastikan sempadan kita sentiasa bocor.

Kalau macam ni, usaha memastikan sempadan kita daripada dibolosi memang sukar dikekang.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

KalimantanKuchingPGATebakang