617 Warga China Dipercayai Anggota “Macau Scam” Ditahan PDRM

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 617 warga China yang dipercayai terbabit dengan sindiket pusat panggilan atau “Macau Scam” ditahan menerusi 60 serbuan di antara 1 Januari hingga 23 Oktober lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob menerusi satu kenyataan hari ini.

“Daripada 60 serbuan pusat panggilan dilakukan pada tahun ini (sehingga 23 Oktober lalu), 29 serbuan membabitkan pusat panggilan penipuan pelaburan saham dalam talian, 28 serbuan berkaitan judi dalam talian dan tiga serbuan penipuan pinjaman wang.

“Bagi tahun lalu pula, 28 serbuan membabitkan pusat panggilan penipuan pelaburan saham dalam talian, 11 serbuan judi dalam talian, dua serbuan penipuan pinjaman wang serta tujuh serbuan Macau Scam,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Sindiket pusat panggilan berkenaan akan merekrut pekerja membabitkan warga China memandangkan mangsa juga adalah dari negara berkenaan.

Mereka akan diberikan latihan, tiket penerbangan serta ditawarkan gaji lumayan.

“Malah, dalang sindiket juga akan mendapatkan bantuan individu warga tempatan dari segi logistik, capaian internet, komputer, telefon bimbit serta penginapan pekerja,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pusat panggilan bagi kegiatan penipuan saham akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 9 malam setiap hari dengan mangsa dari China diperoleh menerusi media sosial termasuk aplikasi WeChat, Facebook dan QQ.

“Pelanggan kemudian dikehendaki memuat turun aplikasi berkaitan saham pasaran China. Mangsa akan dipengaruhi ahli sindiket yang menggunakan skrip disediakan.

“Malah, setiap pekerja perlu memastikan pelabur membuka akaun WeChat selain mempromosikan saham-saham yang menguntungkan di dalam kumpulan aplikasi berkenaan.

“Hushpuppi” antara scammer warga Nigeria yang berjaya ditahan oleh pihak berkuasa Dubai selepas menipu ramai mangsa. (sumber internet)
Dikatakan beberapa jenis kereta mewah yang digunakan oleh sindiket “Macau Scam” di negara ini. (sumber internet)

“Semua transaksi pembayaran menggunakan akaun di China iaitu melalui WeChat Pay atau Alipay,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan pembabitan dengan sindiket berkenaan termasuk tidak menyewa tempat kepada sindiket.

“Jangan memberi bantuan penyediaan pengangkutan dan logistik kepada sindiket serta sentiasa berhati-hati dengan tawaran pelaburan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan,” katanya.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Jenayah KomersialMacau ScamPolisPusat PanggilanWarga China