Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Filipina Wujudkan Militia Maritim Untuk Jaga Perairannya

0 490

(DEFENCE SECURITY ASIA) —  Filipina akan mengerahkan ratusan bot-bot nelayan militia maritimnya ke Laut Filipina Barat (West Philippine Sea) bagi bertindak sebagai “ mata dan telinga” Tentera Laut Filipina untuk menangani pencerobohan China.

Ia diumumkan sendiri oleh Panglima Tentera Laut negara itu, Giovanni Carlo Bacordo.

“Ia adalah langkah sementara kerana Tentera Laut dan Pengawal Pantai Filipina tidak boleh berada di setiap kawasan,” katanya dan menambah, militia maritim Filipina itu akan dilatih oleh Tentera Laut negara itu.

Militia maritim ini macam RELA di Malaysia, cuma mereka bergerak di atas perairan.

Pinoy
Nelayan Filipina berhampiran Pulau Thitu (Pagasa). (sumber internet)

Bot-bot nelayan militia maritim Filipina akan dikerahkan ke perairan-perairan yang dipertikaikan pemilikannya seperti Scarborough Shoal dan Kepulauan Spratly.

Militia maritime itu akan diletak di bawah kawasan penugasan Tentera Laut di Luzon Utara dan bahagian barat Tentera Laut yang mengawasi Laut Filipina Barat.

Militia maritim Filipina itu akan memantau kehadiran kapal-kapal asing di perairan Filipina serta menjaga keselamatan nelayan negara itu.

Walaupun militia maritim Filipina itu tidak akan dibekalkan dengan senjata, tetapi kebanyakkan mereka sememangnya memiliki senjata di atas kapasiti peribadi.

Jose Rizal
Kapal friget Jose Rizal Tentera Laut Filipina.(sumber internet)

Militia maritim Filipina itu akan dibekalkan dengan peralatan komunikasi dan pemantauan.

Pada akhir 2018, kira-kira 100 buah nelayan China dipercayai militia maritim negara itu menceroboh kawasan perairan disekitar Pulau Thitu (Pagasa) yang diduduki oleh Filipina.

Nelayan negara Komunis itu berada di kawasan perairan terbabit selama berbulan-bulan lamanya, mengawasi tindak-tanduk anggota tentera Filipina di pulau terbabit.

Kadangkala, kumpulan militia maritim China itu akan diiringi oleh kapal-kapal pengawal pantai China.

Pagasa
Imej satelit menunjukkan puluhan bot-bot nelayan China di perairan Pulau Thitu. (sumber internet)

Sebelum Filipina turut sama mewujudkan pasukan milita maritimnya, hanya China dan Vietnam yang ada pasukan militia itu.

China dan Vietnam menggunakan pasukan militia maritimnya untuk mengukuhkan tuntutan maritime mereka.

Malaysia, Indonesia dan Brunei tidak memiliki sebarang pasukan militia maritime.

Kesatuan Eropah menganggarkan Vietnam memiliki kira-kira 8,000 buah bot nelayan dan 46,000 anggota militia maritim.

Bagi China pula, Amerika Syarikat menganggarkan negara Komunis itu memiliki 20,000 buah bot militia maritim.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...