Cadangan Penjualan 10 Unit Pod Sasaran Sniper ATP Bernilai US$80 Juta pada Malaysia
Diumumkan pada 7 Mei bahawa kelulusan telah diberikan terhadap penjualan 10 unit Sniper ATP berikutan permintaan daripada kerajaan Malaysia berkemungkinan untuk kegunaan pesawat-pesawat pejuang F/A-18D milik TUDM.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengumumkan kemungkinan penjualan 10 unit Sniper Advanced Targeting Pod (ATP) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bernilai US$80 juta (RM379 juta).
Diumumkan pada 7 Mei bahawa kelulusan telah diberikan terhadap penjualan 10 unit Sniper ATP berikutan permintaan daripada kerajaan Malaysia berkemungkinan untuk kegunaan pesawat-pesawat pejuang F/A-18D milik TUDM.
Cadangan penjualan itu meliputi data-data teknikal dan publikasi, latihan anggota, peralatan latihan dan perisian, elemen-elemen lojistik dan program bantuan.
“Cadangan penjualan (Sniper ATP) itu akan meningkatkan kemampuan Malaysia dalam menangani ancaman pada masa ini dan masa depan dengan memodenkan pesawat F/A-18D dengan pod sasaran yang sama.”
“Cadangan penjualan juga akan menangani kebimbangan keusangan pada masa depan dan memberikan TUDM memenuhi keperluan operasi pada masa depan. Malaysia tidak akan menghadapi kesukaran menggunapakai peralatan ini dalam angkatan tenteranya,” menurut kenyataan oleh Defense Security Cooperation Agency (DSCA).
Ia juga berkata penjualan alatan itu tidak akan mengubah keseimbangan kuasa ketenteraan di rantau itu.
Kontraktor utama adalah syarikat Lockheed Martin yang membangunkan Sniper ATP itu.
Pada ketika ini, TUDM mengoperasikan lapan buah pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang dibangunkan oleh syarikat Boeing.
Selain itu TUDM juga memiliki 18 buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM yang menggunakan pod sasaran Thales “Damocles.”
Selain pesawat pejuang F/A-18D, terdapat juga kemungkinan Sniper ATP itu adalah untuk kegunaan pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries (KAI), yang akan mula diterimanya pada Oktober 2026.
Sebelum ini, KAI juga mengesahkan bahawa pesawat-pesawat FA-50M milik Malaysia itu akan menggunakan Sniper ATP.
Pada Ogos tahun lepas, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat telah bersetuju untuk menjual sejumlah 34 buah Sniper ATP bernilai US$124.7 juta (RM561 juta) untuk dipasang kepada pesawat-pesawat pejuang ringan FA-50 buatan Korea Selatan milik Poland.
Pod sasaran Sniper ATP seberat 200kg itu merupakan sistem penjejak sasaran elektro-optik di dalam sebuah pod yang bertanggungjawab untuk menguruskan usaha penjejakan sasaran berketepatan tinggi dan perisikan, operasi pemantauan, misi udara-ke-udara dan udara-ke-darat di darat serta lautan.
Ia terdiri daripada penderia definisi tinggi dan laser sport tracker dan boleh menyokong dengan tepat sistem persenjataan panduan laser dan sistem persenjataan panduan GPS dalam usaha membedil sasaran bergerak dan sasaran statik.
Pod sasaran Sniper ATP akan membolehkan pesawat FA-50 itu untuk mengenalpasti sasaran, menjejak dan menanganinya daripada jarak standoff, selain meningkatkan operabiliti dengan negara-negara anggota NATO yang lain.
Pod sasaran “Sniper” ATP merupakan pod sasaran yang telah terbukti kemampuannya di medan-medan peperangan yang disertai oleh Amerika Syarikat serta pelanggan luar dan digunakan oleh pesawat-pesawat F-15E, F-16 (kesemua Blok), B-1, A-10C, Harrier GR7/9 dan F/A-18.
Kemampuan Sniper ATP untuk “plug and play” membolehkan ia digunakan oleh pelbagai platform tanpa perlu menukar software.
Antara kemampuan pod sasaran Sniper ATP termasuklah mid-wave Forward Looking Infrared (FLIR) definisi tinggi, HDTV, dual-mode laser, laser spot tracker, laser marker, video data link, digital data recorder.
Pod sasaran itu juga memiliki kemampuan untuk menjejak sasaran taktikal menerusi imagery real-time yang disalurkan kepada paparan di kokpit.
Sniper ATP juga adalah sesuai untuk digandingkan dengan bom-bom “J-Series” yang terkini untuk digunakan terhadap sasaran bergerak dan sasaran kekal. — DSA
Comments are closed.