Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika, Russia, China Bersaing Cipta Peluru Berpandu Udara-ke-Udara Amat Jauh

Amerika Syarikat, Russia dan China sedang bersaing hebat pada ketika ini untuk memperkenalkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh terbaru yang berkemampuan membedil sasaran udara melebih 400km jauhnya, bagi memberikan kelebihan strategik kepada pesawat-pesawat pejuangnya dalam pertempuran udara.

3,057

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini sebuah pesawat pejuang ujian F/A-18 Super Hornet Tentera Laut Amerika Syarikat telah dilihat membawa peluru berpandu RIM-176 Standard Missile 6 (SM-6), yang dikatakan adalah peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh terbaru negara itu.

Pada ketika ini, peluru berpandu SM-6 itu digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat dalam varian sistem pertahanan darat-ke-udara di kapal-kapal perang AEGIS miliknya, tetapi usaha sedang diperhebatkan untuk menjadikan peluru berpandu SM-6 itu dalam varian udara-ke-udara yang boleh dibawa oleh pesawat pejuang.

Apa yang menjadikan peluru berpandu SM-6 istimewa itu adalah jaraknya.

Jika di dalam varian darat-ke-udara sebagaimana digunakan oleh kapal-kapal perang Amerika Syarikat, peluru berpandu SM-6 itu dilaporkan mempunyai jarak bedilan di antara 240km hingga 460km.

Bagaimanapun, jika usaha tentera Amerika Syarikat mengubahsuai peluru berpandu SM-6 itu dan menjadikannya varian udara-ke-udara itu berjaya, maka jarak bedilan peluru berpandu itu adalah lebih jauh daripada 400km.

Amerika
Pesawat pejuang China membawa peluru berpandu udara-ke-udara PL-17.

 

Jika itu berlaku, ia akan memberikan kelebihan mutlak kepada pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat yang membawa peluru berpandu SM-6 dalam varian udara-ke-udara ketika pertempuran udara.

Jika dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara SM-6, pesawat pejuang Amerika Syarikat itu boleh membedil mana-mana pesawat pejuang musuh pada kedudukan yang lebih jauh berbanding sebelum ini.

Jarak peluru berpandu udara-ke-udara SM-6 itu berkemungkinan melebihi berkali-kali ganda daripada peluru berpandu udara-ke-udara AIM-120 AMRAAM yang dimiliknya pada ketika ini, memberikan pesawat pejuang Amerika Syarikat itu kelebihan yang sukar dicabar pihak lain dalam pertempuran udara.

Usaha pihak Amerika Syarikat untuk mengubahsuai peluru berpandu SM-6 dan menjadikannya varian udara-ke-udara semakin diperhebatkan kerana menyedari pihak Russia dan China juga sedang meningkatkan jarak peluru berpandu udara-ke-udara milik mereka.

Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-15” yang dibangunkan oleh China memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km manakala PL-17 atau PL-20 yang diperkenalkan oleh Beijing pada akhir tahun lepas memiliki jarak melebihi 400km.

Su-57
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh “R-37M” 

 

Peluru berpandu udara-ke-udara Beyong Visual Range (BVR) PL-17 itu dikatakan adalah di antara peluru berpandu udara-ke-udara paling jauh di dalam pasaran pada ketika ini.

Tentera Udara Russia pula dilapor telah melengkapkan pesawat pejuang Su-35 dan Su-30 miliknya dengan peluru berpandu udara-ke-udara “R-37M”  (RVV-BD) yang boleh menembak jatuh sasaran udara sejauh di antara 300km hingga 400km.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh yang tidak pernah digunakan sebelum ini telah digunakan oleh pesawat Su-30SM dan SU-35S untuk menembak jatuh pesawat pejuang Ukraine pada 1 November.

Pihak berkuasa Russia turut telah menyiarkan penggunaan peluru berpandu terbabit oleh pesawat itu.

Menurut pemerhati ketenteraan antarabangsa, ini adalah kali pertama mereka melihat peluru berpandu udara-ke-udara R-37B digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang Russia pada konflik bersenjata di Ukraine.

Pada Oktober lepas, terdapat laporan media mengatakan pesawat pejuang Su-27 milik Tentera Udara Ukraine telah berjaya ditembak jatuh oleh peluru berpandu R-37M yang dilancarkan oleh pesawat pejuang generasi kelima Russia, Su-57.

 

Moscow dikatakan telah meningkatkan penggunaan peluru-peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh seperti R-37M bagi membolehkan pesawat pejuangnya berada di luar ruang udara tengah dan barat Ukraine yang dikawal ketat oleh sistem pertahanan udara Ukraine serta dipantau rapi oleh pesawat-pesawat amaran awal NATO.

Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh R-37M (RVV-BD) atau AA-13 adalah peluru berpandu moden, dengan komponennya dihasilkan di dalam Russia.

Ia dihasilkan oleh firma Russia terkenal dalam pembangunan sistem peluru berpandu udara-ke-udara iaitu Vympel.

Walaupun R-37 itu dibangunkan untuk diguna pesawat MiG-31, tetapi varian terkininya iaitu R-37M boleh digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang yang lain termasuk Su-35, Su-30 dan pesawat generasi kelima, Su-57. — DSA

 

 

Comments are closed.