Triti Laut Sulawesi Antara M’sia-Indonesia Tidak Libatkan Blok Ambalat
“Kita belum rundingi apa kawasan yang dikatakan sebagai Ambalat atau 200 batu nautika keatas atau apa yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE). Tidak dirundingi dan belum dirundingi,” katanya dalam sidang media yang dipetik oleh agensi berita nasional Bernama hari ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Malaysia dan Indonesia tidak melibatkan kawasan yang dirujuk sebagai blok Ambalat tetapi hanya membabitkan sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.
“Kita belum rundingi apa kawasan yang dikatakan sebagai Ambalat atau 200 batu nautika keatas atau apa yang dikatakan sebagai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE). Tidak dirundingi dan belum dirundingi,” katanya dalam sidang media yang dipetik oleh agensi berita nasional Bernama hari ini.
Mohamad berkata demikian susulan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku Assaffal Alian di persidangan DUN Sabah pada 10 Ogos lepas yang mendakwa kononnya Malaysia telah menyerahkan Ambalat kepada Indonesia.

Isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi atau Ambalat yang terletak antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah itu, timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.
Peta itu menunjukkan kawasan sempadan maritim itu terletak dalam perairan Malaysia tetapi Indonesia membantah peta itu.
Wisma Putra dalam penjelasan berhubung Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani pada 8 Jun lepas di Putrajaya sempena lawatan kerja Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia memaklumkan triti itu tidak melibatkan persempadanan maritim di ZEE dan pelantar benua antara Malaysia dan Indonesia.
“Dalam erti kata lain, triti tersebut tidak melibatkan kawasan yang dirujuk Malaysia sebagai Blok ND6 dan Blok ND7 atau yang dirujuk Indonesia sebagai Ambalat,” menurut Wisma Putra dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 20 Jun.
Pemeteraian Triti Selat Melaka dan Triti Laut Sulawesi antara Malaysia- Indonesia berkaitan Persempadanan Laut Wiayah bagi kedua-dua negara sudah mengambil kira pandangan dan nasihat pakar maritim negara.
Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan, rundingan bagi perbatasan laut itu sudah berlangsung selama 18 tahun membabitkan pelbagai aspek, termasuk dari segi perundangan, teknikal, ekonomi dan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.
Sementara itu, Mohamad menegaskan kerajaan Persekutuan amat mengambil berat dan sentiasa berhati-hati mengenai soal triti yang melibatkan soal persempadanan maritim kedua-dua negara.
Comments are closed.