Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Alasan India Tidak Sengaja Lancar BrahMos Terhadap Pakistan “Tidak Boleh Diterima Langsung”- Pakar

Pakar persenjataan Pakistan di Center for International Strategic Studies (CISS) di Islamabad dilaporkan berkata, alasan dikemukakan oleh India bahawa insiden itu berpunca daripada masalah teknikal komponen sistem peluru berpandu dipanggil “combat connectors” sehingga menyebabkan pelancaran "tidak sengaja" peluru berpandu kruis BrahMos terhadap Pakistan adalah tidak boleh diterima langsung.

0 13,686

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada jam 7 malam 9 Mac 2022,  dua kuasa nuklear berjiran di Asia Selatan hampir-hampir berperang apabila sebutir peluru berpandu kruis milik India telah dilancarkan terhadap Pakistan secara “tidak sengaja”.

Tentera India mendakwa pelancaran peluru berpandu kruis BrahMos daripada sebuah pangkalan tentera negara itu di Ambala dan mendarat di Mian Channu, wilayah Punjab milik Pakistan adalah  tidak “disengajakan”.

Peluru berpandu kruis BrahMos yang dibangunkan oleh India dan Russia itu didakwa tidak memiliki sebarang peledak ketika ia dilancarkan secara “tidak sengaja” dan telah mendarat di wilayah Pakistan.

Pada tahun ini, selepas melaksanakan siasatan Tentera India mendakwa masalah teknikal membabitkan beberapa komponen sistem peluru berpandu kruis itu merupakan punca menyebabkan BrahMos telah dilancarkan secara “tidak sengaja” terhadap Pakistan.

Ia mendakwa komponen sistem peluru berpandu kruis itu yang dipanggil “combat connectors” sebagai punca terhadap insiden pelancaran “tidak sengaja” BrahMos terhadap Pakistan.

Pakistan
Serpihan peluru berpandu Brahmos yang jatuh di wilayah Pakistan dua tahun lepas.

 

Selain itu ia juga mengaku bahawa insiden berbahaya itu berlaku disebabkan ketidakpatuhan terhadap protokol keselamatan anggota-anggota tentera India yang terlibat.

Pengakuan pihak India tentang punca berlakunya insiden itu dikatakan adalah kali pertama sejak kejadian yang hampir-hampir mencetuskan peperangan dengan jirannya, Pakistan berlaku dua tahun lepas.

Tiga orang pegawai tentera India yang bertanggungjawab terhadap unit peluru berpandu kruis terbabit telah dipersalahkan sehingga menyebabkan insiden itu berlaku.

Sementara itu pakar persenjataan Pakistan di Center for International Strategic Studies (CISS) berpangkalan di Islamabad dilaporkan berkata bahawa alasan dikemukakan oleh India bahawa insiden itu berpunca daripada masalah teknikal komponen sistem peluru berpandu dipanggil “combat connectors” sehingga menyebabkan pelancaran “tidak sengaja” peluru berpandu BrahMos terhadap Pakistan adalah tidak boleh diterima langsung.

Pakar-pakar persenjataan Pakistan itu yang menjalankan kajian menyatakan bahawa pelancaran peluru berpandu kruis oleh India terhadap Pakistan ketika waktu aman dua tahun lepas itu adalah disengajakan.

Pakistan

Pakar Pakistan itu yang dikenali dengan nama Dr Atia Kazmi Ali turut menyertakan bukti yang menyokong kenyataannya bahawa India sememangnya telah dengan sengaja melancarkan peluru berpandu kruis Brahmos terhadap Pakistan.

Kajian oleh pakar Pakistan itu menyatakan bahawa pelancaran secara “tidak sengaja” peluru berpandu BrahMos milik India terhadap Pakista itu adalah untuk mengetahui tempoh reaksi (reaction time) tentera Pakistan.

Ia berkata India telah membuat kesimpulan yang salah terhadap reaksi Pakistan berhubung insiden itu dan ia adalah amat berbahaya.

Pada masa depan, India berkemungkinan tidak boleh mengagak bagaimana Pakistan akan memberikan responsnya terhadap insiden yang sama.

Pakar itu juga mencadangkan supaya Pakistan mengikut strategi Perang Dingin dipanggil “Launch on Warning” selepas mengesan pelancaran peluru berpandu oleh musuh.

Dalam strategi itu, Pakistan akan melancarkan terlebih dahulu (pre-emptive strike).

Sistem peluru berpandu BrahMos merupakan usahasama di antara Defence Research and Development Organisation (DRDO) daripada India dan NPO Mashinostreyenia (NPOM) daripada Russia.

BrahMos

Peluru berpandu BrahMos itu berkemampuan membawa kira-kira 200kg bahan peledak berkuasa tinggi.

Peluru berpandu BrahMos merupakan peluru berpandu kruis jarak sederhana yang menggunakan teknologi ramjet yang boleh dilancarkan daripada pelbagai platform sama ada udara, kapal, kapal selam serta kawasan pesisir pantai. 

Peluru berpandu kruis itu mempunyai jarak effektif kira-kira 300km dengan kelajuan supersonik 2.8 Mach.

Bagaimanapun baru-baru ini, kapal destroyer kelas-Rajput Tentera Laut India telah melaksanakan ujian pelancaran peluru berpandu BrahMos ER (Extended Range) yang boleh membedil sasaran-sasaran darat dengan ketepatan yang tinggi sejauh 800km.

Dengan jarak sejauh 800km, peluru berpandu BrahMos ER itu berkemampuan membedil mana-mana sasaran jauh di dalam wilayah Pakistan dengan mudah, sekaligus menjadikan ia peluru berpandu taktikal yang cukup berbahaya untuk Tentera Pakistan. — DSA

Iklan

Comments
Loading...