Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Hantar Kapal Pengintip “Mengendap” Latihan Tentera Bersama Australia-Amerika

Kementerian Pertahanan Australia, kapal pengintip China itu adalah “Tiangwangxing” yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan elektronik yang canggih untuk tujuan pemantauan, pemintasan serta pengumpulan maklumat perisikan elektronik.

0 1,408

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal pengintip tentera laut China (auxiliary general intelligence ship – AGI) dikesan berada di luar pantai Queensland dipercayai sedang memantau latihan bersama tentera diantara Australia dengan Amerika Syarikat dipanggil “Talisman Sabre 2021.”

Latihan itu bermula secara rasmi hari ini.

Menurut Kementerian Pertahanan Australia, kapal pengintip China itu adalah “Tiangwangxing” yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan elektronik yang canggih untuk tujuan pemantauan, pemintasan serta pengumpulan maklumat perisikan elektronik.

Kapal pengintip China itu berada di dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Australia tetapi di luar kawasan perairan negara itu.

Beijing turut menghantar kapal pengintipnya ke perairan ZEE Australia pada 2017 dan 2019 apabila negara itu mengadakan latihan tentera yang besar.

 

Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata pihak tentera negara itu memantau dengan penuh minat kehadiran kapal pengintip China berhampiran dengan kawasan perairan miliknya ketika ia dan Amerika Syarikat mengadakan latihan tentera.

Katanya, undang-undang pelayaran antarabangsa membenarkan kapal China itu untuk berada di situ dan Australia juga meminta Beijing menghormati hak kapal-kapalnya untuk belayar di mana-mana perairan di Laut China Selatan sebagaimana dibenarkan oleh undang-undang.

“Kita sentiasa memantau kapal China dan kita pasti mereka juga sedang memerhatikan kita,” katanya.

Sementara itu Menteri Pertahanan Australia Peter Dutton berkata, negara itu sememangnya telah menjangkakan bahawa China akan menghantar kapalnya untuk memantau latihan perang terbabit.

Bagaimanapun beliau tidak menjangkakan kapal pengintip China itu akan menghalang perjalanan latihan perang “Talisman Sabre” yang disertai oleh 17,000 anggota tentera Australia dan Amerika Syarikat.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...