Polis Marin Bakal Dilengkapkan Dengan Dua Buah “Mother Ship” (Kapal Induk)
Menurutnya, kedua-dua kapal induk itu beroperasi untuk membantu bot-bot dan kapal-kapal kecil Polis Marin.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pasukan Polis Marin dijangka mengumumkan tender untuk perolehan dua kapal induk (mother ship), menurut timbalan komandernya DCP Mohd Yusof Mamat sebagaimana dipetik berkata dalam portal pertahanan tempatan, Malaysian Defence.
Menurutnya, kedua-dua kapal induk itu beroperasi untuk membantu bot-bot dan kapal-kapal kecil Polis Marin.
Mohd Yusof berkata, kapal-kapal induk itu diperolehi menerusi peruntukan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan Rancangan Malaysia ke-12.
Selain Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga berminat untuk mendapatkan dua buah mother ship untuk menyokong operasinya sebagaimana yang diumumkan oleh pasukan itu sejak 2017.
Ketua Pengarah APMM pada ketika itu, Laksamana Madya Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar, berkata kapal induk itu akan berfungsi membawa lebih banyak bekalan makanan serta minyak untuk tujuan operasi.
Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk meletakkan kapal induk itu di kawasan perairan Beting Patinggi Ali Laut China Selatan serta di perairan Pantai Timur.
“Kapal induk ini adalah kapal besar yang juga boleh membuat tugas penguatkuasaan, cumanya kapal ini akan berada di kawasan perairan negara lebih lama.”
“Oleh itu, kapal-kapal kecil yang membuat tugas meronda akan dapat mengambil bekalan makanan atau minyak di kapal induk itu tanpa perlu pulang ke pangkalan, ia akan menjimatkan masa dan kos,” katanya.
Sementara itu menurut Komander Polis Marin itu, pasukan itu memiliki 190 buah kapal dan bot bagi mengawasi kira-kira 2,000km kawasan pesisir pantai.
Sembilan puluh buah daripada bot-bot dan kapal Polis Marin itu ditempatkan di Sabah, 20 buah di Sarawak manakala selebihnya ada di Semenanjung.
Menurut portal Malaysian Defence, antara bot yang turut bakal dibeli oleh Polis Marin di bawah RMK-12 adalah 10 buah Rigid Hull Inflatable Boat sebagaimana iklan tender yang dibuka pada bulan lepas.
Antara spesifikasi bagi bot-bot RHIB itu adalah ia boleh memuatkan dua krew and enam penumpang serta memiliki kelajuan 45 knot.
Bot juga harus memiliki kemampuan jarak operasi sejauh 220 batu nautika pada kelajuan 30 knot.