Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Tentera Myanmar Kerah Unit Sniper “Tangani” Peserta Perhimpunan

Gambar-gambar anggota unit penembak tepat Myanmar di bangunan tinggi telah tersebar.

0 2,133

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Keganasan pihak tentera terus berleluasa di Myanmar, dengan media tempatan menyatakan sebanyak 11 orang awam yang terlibat dalam perhimpunan telah mati ditembak oleh pasukan keselamatan negara itu pada Sabtu.

Insiden paling buruk dilaporkan berlaku di Mandalay, yang merupakan bandar kedua terbesar di Myanmar di mana media tempatan menyatakan lima orang awam termasuk dua wanita mati ditembak oleh pasukan tentera negara itu yang juga dipanggil “Tatmadaw”. (video di bawah)

 

Selain lima yang terbunuh itu, kira-kira 10 orang peserta perhimpunan juga cedera akibat ditembak.

Sehingga kini media tempatan menganggarkan kira-kira 80 orang awam telah terbunuh akibat keganasan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Myanmar terhadap penduduk negara itu yang melancarkan perhimpunan di seluruh negara bagi membantah tindakan tentera negara itu yang merampas kuasa daripada pemerintah yang dipilih menerusi pilihanraya.

Sniper Myanmar
Kantoi…anggota unit penembak tepat tentera Myanmar melepaskan tembakan terhadap peserta perhimpunan negara itu.

Pemimpin pro-demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi bersama-sama pemimpin partinya, National League of Democracy (NLD) yang sebelum itu telah memenangi pilihanraya, telah ditangkap oleh anggota tentera.

Sehingga kini, tiada siapa tahu di mana Suu Kyi ditahan.

Sementara laporan-laporan daripada penduduk tempatan yang terlibat dalam perhimpunan aman itu berkata, kebanyakkan mangsa yang mati atau cedera itu adalah akibat ditembak oleh unit-unit penembak tepat (sniper) pasukan keselamatan Myanmar.

Dalam kejadian yang berlaku di Mandalay pada Sabtu, salah seorang yang terbunuh adalah wanita mengandung yang ditembak di bahagian muka.

Penduduk tempatan mendakwa wanita itu telah ditembak oleh penembak tepat tentera Myanmar.

Myanmar
Mangsa tembakan anggota pasukan keselamatan Myanmar di Mandalay pada Sabtu.

Dakwaan yang sama oleh penduduk tempatan juga mengatakan pasukan keselamatan telah mengerahkan unit-unit pasukan penembak tepatnya supaya ditempatkan di bangunan-bangunan tinggi atau tempat tersembunyi bagi membolehkan mereka melepaskan tembakan terhadap peserta perhimpunan.

Penduduk tempatan juga menyebarkan gambar-gambar anggota penembak tepat pasukan keselamatan Myanmar itu di bangunan tinggi bersama-sama senjata penembak tepat sedang melihat sasaran.

Gambar-gambar unit penembak tepat pasukan keselamatan Myanmar itu menjadi viral dikalangan pengguna media sosial negara itu.

Defence Security Asia turut menerima gambar-gambar anggota penembak tepat Myanmar yang didakwa bertanggungjawab menyebabkan kematian sebahagian besar peserta perhimpunan bagi membantah rampasan kuasa tentera itu.

Sniper

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...