Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Gagal Dalam Pembinaan Kapal Pengangkut Pesawat Berkuasa Nuklear?

China bakal memiliki tiga buah kapal pengangkut pesawat menjelang akhir tahun ini, tetapi tiada satu pun berkuasa nuklear.

0 3,849

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini tentera China memiliki dua buah kapal pengangkut pesawat (aircraft carrier) iaitu “Liaoning” dan “Shandong” dan kapal pengangkut pesawat yang ketiga bakal dilancarkan akhir tahun ini.

Visi tentera China adalah ia mahu memiliki enam buah kapal pengangkut pesawat menjelang 2035 bagi bersaing dengan Amerika Syarikat yang memiliki 10 buah kapal pengangkut pesawat kelas-Nimitz dan kapal-kapal sama yang dimiliki oleh negara-negara sekutu Uncle Sam itu.

China
Kapal pengangkut pesawat kedua China, Shandong.

Bagaimanapun faktor teknologi mungkin menjadi penghalang kepada China untuk bersaing dengan Amerika Syarikat dan sekutunya, terutama di dalam isu reaktor nuklear bagi memacu kapal-kapal pengangkut pesawatnya itu.

Ini kerana kedua-dua buah kapal pengangkut, Liaoning dan Shandong tidak dilengkapi dengan reaktor nuklear dan kemungkinan kapal yang ketiga juga tidak dilengkapi dengan teknologi, sekaligus membatasi cita-cita China untuk menjadi kuasa tentera laut dunia dan bersaing dengan tentera laut Amerika Syarikat. Tanpa reaktor nuklear yang hanya perlu “refuel” selepas 25 tahun, kapal-kapal pengangkut pesawat China berkuasa konvensional tidak mampu belayar lama di lautan kerana kapal konvensional perlu sentiasa “resupply” (ulang bekal) dengan bahan bakar dan lain-lain.

Nimitz
Dua buah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat di Laut China Selatan.

Untuk operasi lama di lautan, kapal pengangkut pesawat konvensional perlu sentiasa diulang bekal dan ini menimbulkan masalah lojistik berbanding yang berkuasa nuklear.

Contoh terbaik adalah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Nimitz yang baru pulang daripada melaksanakan operasi di 5th Fleet di Timur Tengah.

Ia akhirnya pulang ke Bremerton, Washington untuk kerja-kerja penyelenggaran selepas berada di laut selama kira-kira 241 hari, menjalankan pelbagai operasi dan misi, sesuatu yang sukar dicapai jika ia adalah sebuah kapal konvensional.

Di dalam teknologi kapal pengangkut pesawat, China masih ketinggalan jauh berbanding Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Menurut pakar tentera laut China, Li Jie, kapal berkuasa nuklear bukan sahaja akan membolehkan kapal pengangkut pesawat itu mengoperasikan “sistem electromagnetic catapult” dengan lebih berkesan tetapi ia mampu menyokong senjata berkuasa tinggi seperti laser dan rail-gun.

Banyak sebab lain, yang menunjukkan kapal-kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear adalah lebih berkesan berbanding kapal berkuasa konvensional.

Bagaimanapun China menyedari tentang kekangan itu dan bercadang mahu melengkapkan kapal pengangkut pesawatnya yang keempat dengan reaktor nuklear, menurut akhbar South China Morning Post yang memetik mereka yang rapat dengan tentera China.

Menurut mereka, mereka yang bertanggungjawab membina kapal pengangkut China dan jurutera mahu mencipta mencipta “breakthrough” menerusi pembinaan kapal pengangkut pesawat yang keempat.

Menurut mereka juga, China  State Shipbuilding Corporation (CSSC) telah pun mengemukakan cadangan untuk melengkapkan kapal pengangkut pesawatnya yang keempat dengan kuasa reaktor nuklear.

Pada 2018, CSSC berkata ia sudah memulakan kerja-kerja membina kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear yang akan membantu tentera China mencapai cita-citanya dalam transformasi strategik dan bersedia untuk kemampuan di laut dalam serta laut terbuka menjelang 2025.

Pada 2019, China General Nuclear Power Group mempelawa bidaan kontrak membina 30,000 kapal berkuasa nuklear, yang disifatkannya sebagai “platform kajian”.

Syarikat pembuat kapal itu juga dikatakan telah membeli rekabentuk-rekabentuk reaktor nuklear untuk ditempatkan di kapal-kapal pengangkut pesawat, sebagai persediaan untuk membina sebuah kapal pengangkut pesawat yang berkuasa nuklear.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...