Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jaket Kalis Peluru, Anti-Tikam Bagi Anggota Kereta Peronda PDRM

0 1,660

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Anggota kereta peronda polis (MPV) seluruh negara kini dibekalkan dengan jaket keselamatan baharu iaitu ‘Reflective Bullet Proof Vest Level II With Anti Stab’ bagi mengelakkan sebarang ancaman dan risiko kecederaan ketika bertugas.

Dipetik oleh agensi berita Bernama, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata untuk fasa pertama sebanyak 800 unit diagihkan dengan keutamaan diberikan kepada seluruh kontinjen.

Vest
Gambar kredit Sinar Harian

Agihan itu menurutnya juga berdasarkan risiko dan insiden kekerapan berlaku kes jenayah yang memerlukan anggota MPV memakai jaket keselamatan, yang antara ciri-cirinya adalah mampu bertahan selama 10 tahun dan memberi perlindungan balistik terhadap tembakan daripada peluru kaliber sembilan milimeter (mm).

“Ia juga memberi perlindungan terhadap tikaman daripada peralatan tajam seperti pisau dan lain-lain selain mampu membalikkan cahaya sebagai pelindung kepada anggota yang bertugas pada waktu malam atau ketika keadaan gelap. Kita beri ikut keutamaan, seperti di Johor kita beri 100 unit kerana kontinjen besar yang mana berisiko tinggi macam Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini

Vest

Sebelum ini menurut Zainal, anggota MPV hanya dibekalkan jaket pemantul cahaya yang tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan dan jaket keselamatan baharu yang lebih berkualiti itu dilihat dapat meningkatkan keyakinan anggota ketika bertugas.

Vest
Gambar hiasan menunjukkan seorang penunjuk perasaan di Hong Kong cuba menikam anggota polis wilayah pentadbiran khas itu dengan pisau.

Terdapat 3,000 MPV seluruh negara dan kira-kira 6,000 unit jaket keselamatan diperlukan untuk petugas dengan fasa pertama 800 unit diberikan kerajaan menerusi Belanjawan 2018 setelah menjalani ujian ketahanan pada hujung tahun lepas.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...