Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turki Akan Bertindak Balas Terhadap Sekatan Ekonomi Oleh Amerika

0 737

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Luar Turki memberi amaran ia akan bertindak balas terhadap keputusan Amerika Syarikat mengenakan sekatan ekonomi terhadapnya kerana membeli sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia.

Sekatan ekonomi terhadap Ankara itu dikenakan dibawah undang-undang Amerika Syarikat iaitu Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA).

S-400

“Turki akan mengambil langkah yang berpatutan terhadap sekatan ekonomi ini, yang akan memberi kesan negatif terhadap hubungan dua hala. Kami akan bertindak balas di dalam keadaan dan tempoh masa yang bersesuaian.

“Turki tidak akan menahan dirinya daripada mengambil tindakan yang bersesuaian untuk memelihara keselamatan nasionalnya,” menurut kenyataan Kementerian Luar Turki itu hari ini.

Baru-baru ini, Turki menguji sistem pertahanan udara S-400 yang dibelinya daripada Russia pada tahun 2017 di wilayah pesisir pantai Sinop.

S-400
S-400 buatan Russia.

Ankara meminta Washington supaya mengkaji semula tindakan sekatan ekonominya itu dengan serta merta.

Turki menurut kementerian itu bersedia untuk menyelesaikan sebarang perbezaan pendapat dengan Amerika mengenai isu pembelian S-400 menerusi proses perundingan.

S-400
Sistem pertahanan udara “Patriot” buatan Amerika Syarikat.

Kementerian Luar Turki itu juga berkata Amerika sudah semestinya mengetahui tentang punca disebalik keputusan negara itu untuk membeli sistem pertahanan udara Russia itu.

Menurut laporan sebelum ini, Turki terpaksa membeli sistem pertahanan udara S-400  daripada Russia selepas usahanya untuk mendapatkan sistem pertahanan udara “MIM-104 Patriot” tidak dilayan oleh Washington.

Ia juga menafikan dakwaan Washington bahawa pembelian S-400 akan menjejaskan sistem pertahanan NATO.

Turki adalah negara anggota NATO.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...