Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Pengangkut Dron Tentera Iran Mula Jalani Ujian Lautan, Bakal Beroperasi Secara Aktif

Imej-imej satelit menunjukkan salah sebuah kapal pengangkut dron tentera Iran, “Shahid Bagheri”  itu sedang berlayar di perairan luar pangkalan tentera laut negara itu di Bandar Abbas di Teluk Parsi.

0 164
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Imej-imej satelit menunjukkan sebuah kapal pengangkut dron milik Iran dikesan berada di perairan luar pangkalan tentera laut negara itu di Bandar Abbas, dipercayai sedang melaksanakan ujian di lautan sebelum ia mula beroperasi secara aktif.
Imej-imej satelit menunjukkan salah sebuah kapal pengangkut dron tentera Iran, “Shahid Bagheri”  itu sedang berlayar di perairan luar pangkalan tentera laut negara itu di Bandar Abbas di Teluk Parsi.
Imej satelit menunjukkan kapal pengangkut dron milik Iran itu dilengkapi dengan “ski jump” sama seperti kemudahan “ ‘Short Takeoff Barrier Assisted Recovery’ (STOBAR)” sama seperti kapal pengangkut pesawat sebenar.
Bagaimanapun, kemudahan “ski jump” yang dilihat pada kapal pengangkut pesawat Iran itu bakal digunakan untuk melancarkan dron-dron.
Kapal pengangkut dron tentera Iran itu dipercayai sedang menjalani ujian di lautan pertama sejak meninggalkan limbungan milik Iran Shipyard and Offshore Industries (ISOICO) pada akhir November.
‘Shahid Bagheri’, ‘Shahid Roudaki’, dan ‘Shahid Mahdavi’ merupakan tiga buah kapal pengangkut dron yang telah dibangunkan oleh Iran.
Shahid Bagheri
Kapal pengangkut dron Iran “Shahid Bagheri” dirakam imej satelit sedang menjalani ujian di lautan.
Imej satelit yang diambil baru-baru ini menunjukkan ketiga-tiga kapal pengangkut pesawat milik Iran itu kini berada di Teluk Parsi.
Kapal pengangkut dron milik Iran itu akan membolehkan tentera negara itu mengerakkan dron-dron  lebih dekat ke medan perang dan kawasan berkonflik.
Walaupun berhadapan dengan sekatan bertahun-tahun daripada negara Barat, Iran berjaya menghasilkan armada dron bersenjata yang telah digunakan di pelbagai medan perang di rantau ini dan bahkan di Eropah, di mana dron Shahed buatan Iran dilaporkan digunakan oleh Russia dalam konfliknya dengan Ukraine.
Dron Shahed-129, yang diperkenalkan pada tahun 2012, telah dihasilkan secara besar-besaran dan digunakan dalam pelbagai medan peperangan.
Dron Mohajer-6 pula dikatakan telah diserahkan kepada Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sejak tahun 2018 dan turut digunakan oleh kumpulan bersenjata seperti Hezbollah, Houthi, dan Hamas dalam serangan terhadap Israel, musuh utama Iran di Timur Tengah.
Imej satelit turut merakam dua lagi kapal pengangkut dron tentera laut Iran, iaitu ‘Shahid Mahdavi’ dan ‘Shahid Roudaki’, yang turut diubah suai daripada kapal komersial kepada kapal tentera dan kini berlabuh di kawasan perairan berhampiran.
Shahid Bagheri
Tiga buah kapal pengangkut dron Iran sedang menjalani ujian di lautan baru-baru ini.
Kedua-dua kapal terbabit, “Shahid Mahdavi” dan “Shahid Roudaki” tidak dilengkapi tanjakan ski-jump, menunjukkan ia hanya sesuai digunakan untuk dron yang mampu berlepas dan mendarat secara menegak, tidak seperti dron Shahed dan Mohajer yang memerlukan landasan untuk berlepas.
Shahid Roudaki adalah sebuah kapal yang mampu membawa dron, helikopter, dan pelancar peluru berpandu.
Kapal ini pada asalnya adalah kapal dagang yang telah diubah suai untuk kegunaan tentera, menjadikannya kapal ketiga yang diadaptasi untuk tujuan ini selepas Shahid Bagheri dan Shahid Mahdavi.
 Huruf ‘X’ pada dek kapal tersebut menandakan tempat pendaratan untuk helikopter, dan kapal ini juga mampu membawa bot serangan pantas.
Bercakap kepada media negara Parsi tahun lepas, pegawai kanan tentera Iran menyatakan bahawa kapal-kapal seperti “Shahid Mahdavi” dan “Shahid Bagheri” akan menjadi seperti “bandar maritim” bergerak yang bersedia untuk melaksanakan tugasan di lautan.
“Ia boleh menstabilkan Sea Line Of Communication (SLOC) dan memberikan bantuan kepada bot-bot nelayan dan kapal komersial Iran serta negara-negara serantau yang memerlukannya,” kata Komander Laut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran Laksamana Ali Reza Tangsiri.
Mohajer
“Mohajer-6”
Shahed-136
“Shahed-136”
Media-media Iran menyatakan bahawa kapal-kapal pengangkut dron negara itu akan meningkatkan kemampuan pemantauan serta serangan Iran mengguna dron berani mati untuk menjangkaui lebih jauh daripada sempadan maritimnya.
Ia sudah tentu akan menggusarkan lagi Amerika Syarikat dan Israel yang turut mempunyai pelbagai jenis kepentingan strategik di Timur Tengah.
Antara dron yang bakal dioperasikan oleh tentera Iran di atas kapal-kapal pengangkut dron negara itu adalah dron berani mati “Shahed-136” buatan negara Parsi itu tetapi turut digunakan oleh tentera Russia di Ukraine selepas dibekalkan oleh Teheran.
Dengan kemampuan untuk terbang sejauh 2,000km hingga 2,500km, dron berani mati “Shahed-136” itu memberikan ancaman yang serius terhadap kapal-kapal dagang yang menggunakan laluan maritim di rantau terbabit.
Kewujudan kapal-kapal pengangkut  dron Iran itu memberikan ancaman berkesan, tidak simetri dan peluang opportunistik kepada Teheran di rantau yang sentiasa bergolak itu. — DSA

Leave A Reply

Your email address will not be published.