Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pakistan Bakal Peroleh Pesawat Pejuang Gen-5 China Shenyang J-35 Dalam Tempoh 24 Bulan

Sebagaimana dilaporkan oleh media Pakistan, 24 News HD yang berpangkalan di Lahore, perkembangan itu merupakan suatu usaha pembangunan oleh Tentera Udara Pakistan dan tindakan untuk menjarakkan lagi kekuatan udaranya berbanding dengan apa yang dimiliki oleh India.

0 2,194
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakistan dilaporkan telah meluluskan pembelian pesawat pejuang generasi kelima buatan China, Shenyang J-35 dengan tentera negara itu dijangka menerima pesawat-pesawat pejuang canggih itu daripada Beijing dalam tempoh 24 bulan.
Sebagaimana dilaporkan oleh media Pakistan, 24 News HD yang berpangkalan di Lahore, perkembangan itu merupakan suatu usaha pembangunan oleh Tentera Udara Pakistan dan tindakan untuk menjarakkan lagi kekuatan udaranya berbanding dengan apa yang dimiliki oleh India.
Pesawat pejuang generasi kelima Shenyang J-35 itu dijangka akan mengatasi kemampuan pesawat-pesawat pejuang dimiliki oleh “musuh tradisinya” India seperti Rafale dan Sukhoi Su-30.
Kelebihan dimiliki oleh Tentera Udara Pakistan menerusi perolehan pesawat pejuang generasi kelima J-35 buatan China itu akan berterusan sehinggalah India memperolehi pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri.
Awal tahun ini, Tentera Udara Pakistan memberikan bayangan bahawa ia akan memperolehi pesawat pejuang halimunan generasi kelima Shenyang  J-35/FC-31 “Gyrfalcon” yang dibangunkan oleh syarikat aeroangkasa China, Shenyang Aircraft Corporation.
Ketua Staf Tentera Udara Pakistan, Marshal Udara Zaheer Ahmed Baber Sidhu dilaporkan berkata dalam satu majlis beberapa bulan lalu bahawa pesawat Shenyang J-35/FC-31 buatan itu akan memasuki perkhidmatan tentera udara negara “tidak lama lagi.”
J-35A
J-35A semasa Airshow China 2024 di Zhuhai

Ringkasan Artikel:

Pakistan telah meluluskan pembelian pesawat pejuang generasi kelima J-35 buatan China, dengan penghantaran dijangka dalam tempoh 24 bulan. Langkah ini bertujuan meningkatkan kemampuan Tentera Udara Pakistan (PAF) berbanding India, yang masih bergantung kepada pesawat generasi 4.5 seperti Rafale dan Sukhoi Su-30MKI.

Pesawat J-35/FC-31, yang dihasilkan oleh Shenyang Aircraft Corporation, merupakan pesawat pejuang halimunan generasi kelima yang direka untuk operasi udara-ke-udara dan udara-ke-darat. Pakistan telah menghantar juruterbangnya ke China untuk latihan penerbangan pesawat tersebut, menunjukkan komitmen ke arah pemilikan pesawat generasi kelima.

Perolehan ini juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Pakistan untuk menggantikan pesawat lama seperti F-16 buatan AS dan Mirage 5 buatan Perancis. Tambahan pesawat J-35 ke dalam inventori PAF akan melengkapkan pesawat J-10C dan JF-17 buatan China, memperkukuh kerjasama pertahanan antara Islamabad dan Beijing.

Pembangunan J-35 juga mencerminkan usaha China untuk bersaing dengan Amerika Syarikat dalam pembangunan pesawat generasi kelima. J-35 menjadikan China negara kedua selepas AS yang berjaya menghasilkan dua jenis pesawat generasi kelima, iaitu J-35A dan J-20 “Mighty Dragon.” Pesawat ini diharapkan memainkan peranan penting dalam pemodenan tentera China dan meningkatkan dominasi teknologi Beijing di rantau ini.

“Rundingan telah pun diadakan bagi membolehkan perolehan pesawat FC-31, yang akan menjadi sebahagian daripada Tentera Udara Pakistan tidak lama lagi,” kata beliau pada majlis terbabit.
Media-media Pakistan melaporkan bahawa Tentera Udara negara itu telah pun menghantar kumpulan juruterbangnya untuk menjalani latihan menerbangkan pesawat pejuang generasi kedua buatan China itu, Shenyang J-35/ FC-31.
Kenyataan oleh media-media Pakistan bahawa tentera udara negara itu telah mula menghantar juruterbangnya ke China untuk menerbangkan pesawat pejuang Shenyang J-35/FC-31, membuktikan bahawa negara Asia Selatan itu sememangnya sedang menuju ke arah pemilikan pesawat pejuang generasi kelima.
Langkah Pakistan itu telah menggusarkan negara jiran dan “musuh tradisinya”, India masih bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang generasi 4.5 seperti Sukhoi Su-30MKI dan Rafale.
Pada pameran Airshow China 2024 baru-baru ini di Zhuhai, China telah mendedahkan gambar rasmi pesawat pejuang halimunan dan generasi kelima miliknya yang kedua, Shenyang J-35A yang telah dibangunkannya sejak sekian lama.
J-35A
Perbandingan antara J-35A (atas) dengan F-35 (bawah) buatan Amerika Syarikat.
Gambar rasmi pertama pesawat pejuang J-35A itu dikeluarkan, bersempena dengan jangkaan “kemunculannya” pada pameran udara Airshow China yang diadakan di Lapangan Terbang Zhuhai di Wilayah Guandong, selatan China bermula pada 12 Nov.
Pembangunan pesawat pejuang generasi kelima kedua China itu dilihat sebagai usaha Beijing untuk bersaing dengan Amerika Syarikat dalam domain pembangunan pesawat pejuang halimunan dan generasi kelima, selain usahanya untuk memodenkan angkatan tenteranya.
Pesawat pejuang J-35A itu direkabentuk untuk melaksanakan operasi kombat udara dan juga operasi udara-ke-darat, menurut media pertahanan di China.
Dengan pesawat pejuang J-35A itu, China juga muncul sebagai negara kedua di dunia selepas Amerika Syarikat yang berjaya membangunkan dua jenis pesawat pejuang generasi kelima iaitu J-35A dan J-20 “Mighty Dragon.”
Amerika Syarikat juga mempunyai dua jenis pesawat pejuang generasi kelima dan halimunan yang berlainan itu F-35 dan F-22 “Raptor.”
Pakistan
Pesawat pejuang J-10C Pakistan
Perolehan pesawat pejuang halimunan generasi kelima  J-35 itu akan hanya menambah pegangan pesawat-pesawat pejuang buatan China dalam inventori Tentera Udara Pakistan selepas memperolehi pesawat pejuang J-10C dan juga JF-17 yang dibangunkan secara bersama oleh Islamabad dan juga Beijing.
Menurut para penganalisis, perolehan pesawat halimunan generasi kelima J-35 itu adalah untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang F-16 buatan Amerika Syarikat serta Mirage 5 buatan  Perancis milik Pakistan yang semakin usang. — DSA
Comments
Loading...