Filipina Kesan Kapal Selam Russia Beroperasi di Laut China Selatan Berhampiran Perairannya
Kali pertama kapal selam Russia itu dikesan pada 28 November lalu berada kira-kira 148km (80 Batu Nautika) barat Occidental Mindoro dan ia didapati telah belayar daripada Malaysia, menurut sumber itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam insiden yang disifatkan sebagai jarang-jarang berlaku, sebuah kapal selam penyerang Russia telah dikesan “timbul” (surfaced) di bahagian barat Laut China Selatan berhampiran Filipina yang digelar oleh Manila sebagai Laut Filipina Barat (West Philippine Sea).
Sumber-sumber memberitahu akhbar Filipina “Philippine Daily Inquirer” bahawa kapal selam penyerang Russia itu dikesan belayar di atas permukaan air pada minggu lepas.
Satu daripada sumber-sumber yang memberitahu akhbar negara itu menyatakan bahawa kapal selam diesel elektrik Russia itu adalah daripada jenis Ufa daripada kelas-Kilo II.
Kali pertama kapal selam Russia itu dikesan pada 28 November lalu berada kira-kira 148km (80 Batu Nautika) barat Occidental Mindoro dan ia didapati telah belayar daripada Malaysia, menurut sumber itu.
Menurut media Filipina, tentera laut negara itu telah bertindak segera dengan mengerahkan sebuah pesawat peninjau dan kapal perang untuk menjejak pelayaran kapal selam Russia itu yang belayar di atas permukaan perairan.
Sepanjang pelayarannya, kapal selam itu tidak menyelam ketika ia belayar menuju ke bahagian utara Laut China Selatan itu di luar perairan Filipina.
Ringkasan Berita
Dalam insiden yang jarang berlaku, kapal selam penyerang Russia, Ufa daripada kelas-Kilo II, dikesan belayar di permukaan Laut China Selatan, berhampiran Laut Filipina Barat. Kapal selam itu dilaporkan bergerak dari Malaysia ke perairan Filipina pada 28 November, sebelum dijejaki oleh pesawat dan kapal perang Tentera Laut Filipina, termasuk BRP Jose Rizal.Sebelum ini, Ufa singgah di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu selepas menjalani latihan bersama Tentera Laut Indonesia. Kapal selam itu kini dalam perjalanan pulang ke pangkalannya di Armada Pasifik Russia di Kamchatka, menunjukkan perpindahan operasinya dari Laut Baltik ke Pasifik sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kemampuan bawah air di rantau tersebut.
Projek 636.3, termasuk Ufa, adalah kapal selam diesel elektrik moden yang dikenali kerana keheningannya, sering digelar “Black Hole.” Kehadirannya di Pasifik mencerminkan usaha Russia memperkukuh Armada Pasifik dan menyokong China dalam menghadapi cabaran bawah air dari Amerika Syarikat dan sekutunya di Indo-Pasifik.
Sepanjang pelayarannya itu, kapal selam diesel elektrik Russia itu dijejaki rapat oleh kapal perang Tentera Laut Filipina BRP Jose Rizal.
Pada minggu lepas, media melaporkan bahawa kapal selam Russia itu bersama kapal penunda, Alatau telah dikesan beroperasi di Laut China Selatan selepas singgah di Pangkalan TLDM di Kota Kinabalu pada 23 Nov itu.
Sebelum itu, kapal selam Russia itu telah berada di Indonesia untuk menjalani latihan bersama dengan Tentera Laut Indonesia.
Kapal selam Ufa daripada kelas-Kilo II itu dipercayai sedang pelayaran untuk pulang ke pangkalannya di Armada Pasifik Tentera Laut Russia di Pangkalan Laut Kamchatka, timur jauh Russia.
“Ufa”adalah salah sebuah daripada enam buah kapal selam penyerang Projek 636.3 milik Russia yang telah ditauliahkan pada akhir tahun lepas dan kini operasinya dipindahkan daripada kawasan Laut Baltik kepada Lautan Pasifik.
Ia merupakan kapal selam diesel elektrik kelas-Kilo (improved Kilo) yang telah dinaiktaraf dan dipermodenkan dengan beberapa kemampuan terkini.
Russia menandatangani perjanjian dengan Admiralty Shipyard untuk membina enam buah kapal selam Projek 636.3, dengan kapal selam pertama telah ditauliahkan oleh tentera laut negara itu pada 2019.
“Ufa” merupakan kapal selam Projek 636.3 keempat yang telah ditauliahkan, dengan kapal selam kelima dan keenam bakal ditauliahkan pada tahun ini dan tahun depan.
Kapal selam “Ufa” dilaporkan adalah salah sebuah kapal selam penyerang Russia paling senyap dalam armadanya, seringkali diperkatakan sebagai “Black Hole” di dalam armada kapal selam negara kuasa besar dunia.
Pemindahan operasi kapal selam “Ufa”, salah sebuah daripada enam kapal selam Projek 636.3 daripada Laut Baltik ke Pasifik menunjukkan Russia kini sedang mempertingkatkan kemampuan bawah permukaan airnya di Lautan Pasifik.
“Pengoperasian kapal selam penyerang diesel-elektrik “Ufa” ke Asia Pasifik adalah amat penting kerana rantau ini telah menjadi arena konfrontasi di antara kuasa-kuasa besar dunia terutamanya membabitkan China dan Amerika Syarikat,” menurut agensi berita Russia, Izvestia.
Agensi berita Russia itu juga berkata, kehadiran kapal selam Projek 636.3 itu perlu untuk memastikan kekuatan dan kemampuan Armada Pasifik Tentera Laut negara itu pada “tahap tertentu.”
Kerahan kapal selam Projek 636.3 ke Pasifik juga dilihat sebagai usaha Russia untuk “membantu” sekutunya, China dalam menangani kemampuan bawah permukaan Amerika Syarikat dan sekutunya di perairan Indo-Pasifik. — DSA