Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Lulus Penjualan 1,000 Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal TOW pada Arab Saudi

Bagi menangani ancaman pada masa kini dan masa depan, Amerika Syarikat telah meluluskan cadangan penjualan lebih daripada 1,000 peluru berpandu anti-kereta kebal TOW  di bawah Foreign Military Sales (FMS) kepada sekutu utamanya di Timur Tengah iaitu Arab Saudi.

0 2,178
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi menangani ancaman pada masa kini dan masa depan, Amerika Syarikat telah meluluskan cadangan penjualan lebih daripada 1,000 peluru berpandu anti-kereta kebal TOW  di bawah Foreign Military Sales (FMS) kepada sekutu utamanya di Timur Tengah iaitu Arab Saudi.
Cadangan penjualan 507 unit peluru berpandu anti-kereta kebal daripada varian-varian TOW 2A dan juga 507 unit TOW 2B daripada syarikat pembuatnya, RTX (dahulu dikenali Raytheon) itu dianggarkan bernilai US$440 juta (RM1.92 billion).
Cadangan penjualan peluru berpandu anti-kereta kebal TOW itu telah dikemukakan kepada Kongres Amerika Syarikat bagi mendapatkan kelulusan akhir.
“Cadangan penjualan itu akan meningkatkan kemampuan Arab Saudi dalam menangani ancaman pada masa kini dan masa depan dengan menambahbaik kekuatannya pertahanannya,” menurut Defense Security Cooperation Agency (DSCA), sebuah agensi yang bernaung dibawah Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Cadangan penjualan peluru berpandu anti-kereta kebal kepada Arab Saudi itu datang selepas Tentera Darat Amerika Syarikat menganugerahkan syarikat RTX dengan dua kontrak peluru berpandu anti-kereta kebal TOW 2B bernilai US$676 juta (RM2.9 billion).

TOW

Peluru berpandu TOW (Tube-launched, Optically Tracked, Wire-guided) adalah sistem persenjataan anti-armor dengan kedua-dua varian, 2A dan juga 2B berkemampuan memusnahkan pelbagai jenis sasaran.
Varian TOW 2A itu dibangunkan untuk menyerang secara langsung bahagian depan sasaran (direct frontal attacks) menjadikan ia amat bersesuaian untuk digunakan dalam serangan terhadap kubu-kubu (bunkers) dan kubu pertahanan yang diperkukuhan.
Sementara itu, Varian TOW 2B direkabentuk untuk serangan secara Top-Down Attacks yang mensasarkan bahagian paling “lemah”iaitu bahagian atas kenderaan itu yang memiliki armor paling tipis.
Varian peluru berpandu anti-kereta kebal TOW2A bersesuaian untuk pertempuran di dalam bandar-bandar dan kubu diperkukuhkan, manakala peluru berpandu anti-kereta kebal TOW varian 2B pula dibangunkan untuk menangani ancaman.
Peluru berpandu anti-kereta kebal TOW 2A dan juga TOW 2B berkeupayaan membedil sasaran di antara 3.75km hingga 4.5km.
Menurut syarikat pembuatnya, peluru berpandu anti-kereta kebal TOW2A dilaporkan amat bersesuaian untuk pertempuran dalam bandar dan terhadap kubu pertahanan yang diperkukuhkan manakala varian TOW 2B memiliki prestasi yang lebih baik pada pertempuran terbuka menentang sasaran bergerak.TOW
Angkatan Tentera Arab Saud memiliki beberapa aset di mana ia boleh mengintegrasikan peluru-peluru berpandu anti-kereta kebal TOW itu seperti kenderaan berperisai M2 Bradley dan helikopter penyerang AH-64 Apache.
Turut termasuk di dalam cadangan penjualan peluru berpandu anti-kereta kebal itu adalah komponen bantuan dan peralatan ujian, simulator, generator, alat-alat ganti, sistem komunikasi, perisian (software), kemudahan pembinaan dan dokumen teknikal dan pelbagai aspek kejuruteraan, lojistik dan latihan.
Walaupun mula diperkenalkan pada tahun 1970-an, tetapi peluru berpandu anti-kereta kebal TOW masih digunakan secara meluaskan oleh anggota tentera Amerika Syarikat dan lebih 40 buah negara serata dunia.
Sebanyak 700,000 peluru berpandu anti-kereta kebal TOW itu dihasilkan dan dieksport ke merata negara seluruh dunia.
Tentera Amerika Syarikat bercadang menggunakan peluru berpandu anti-kereta kebal TOW itu sehingga tahun 2050-an menerusi beberapa siri peningkatan keupayaan dan modenisasi. — DSA

 

Comments
Loading...