Panglima TUDM Tinjau Perkembangan Pembinaan UAS “ANKA” Oleh TAI di Turkiye
Menurut kenyataan media sosial TUDM, lawatan Panglima TUDM itu adalah untuk melihat perkembangan pembinaan UAS (Unmanned Aerial System) ANKA milik TUDM yang dijangka akan diperoleh pada penghujung 2025.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan telah mengadakan lawatan rasmi ke premis syarikat Turkish Aerospace Industries (TAI) di Ankara, Turkiye pada 17 Oktober 2024 yang lalu.
Menurut kenyataan media sosial TUDM, lawatan Panglima TUDM itu adalah untuk melihat perkembangan pembinaan UAS (Unmanned Aerial System) ANKA milik TUDM yang dijangka akan diperoleh pada penghujung 2025.
Lawatan pimpinan tertinggi TUDM itu merupakan julung kali diadakan selepas kontrak perolehan di tandatangani di antara kerajaan Malaysia dan TAI, bertujuan melihat perkembangan terkini proses pembinaan aset baharu TUDM tersebut.
Turut mengiringi Panglima TUDM dalam lawatan rasmi tersebut adalah Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Ahmad Khusairi Ahmad Fadli TUDM dan Tim Projek UAS ANKA TUDM.
Dalam program lawatan rasmi ini juga, Panglima TUDM turut berkesempatan mengadakan lawatan ke beberapa syarikat yang berkait secara langsung dan tidak langsung dengan perolehan UAS ANKA TUDM iaitu Syarikat ASELSAN, ROKETSAN, HAVELSAN dan C2TECH, menurut kenyataan TUDM itu.
Lawatan Panglima TUDM itu diadakan sebelum berlakunya serangan pengganas terhadap kemudahan TAI di Ankara itu yang menyebabkan sekurangnya-kurangnya lima orang terbunuh termasuk dua penyerang manakala 22 yang lain tercedera.
Serangan dipercayai didalangi oleh anggota pengganas Parti Pekerja Kurdistan (PKK) itu telah menyebabkan tentera Turkiye melancarkan serangan udara terhadap kedudukan pengganas di utara Iraq.
Kenyataan media sosial TUDM menyatakan Panglima TUDM dan delegasi telah meneruskan program lawatan ke Turkiye dengan menghadiri SAHA Expo yang berlangsung di Istanbul bermula pada 22 hingga 26 Oktober 2024.
Program ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh Panglima TUDM untuk bertemu dengan para delegasi dari negara-negara yang hadir untuk mengukuhkan hubungan diplomasi ketenteraan dan menjemput mereka ke LIMA’25 pada tahun hadapan.
Panglima TUDM turut mengadakan pertemuan bersama Ketua Setiausaha Pertahanan Turkiye (Udara) dan Komander Tentera Udara Turkiye General Ziya Cemal Kadıoğlu.
“Pertemuan ini menjurus kepada perbincangan untuk mengukuhkan hubungan ketenteraan dan perancangan kerjasama untuk masa akan datang melibatkan latihan serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua negara.”
PTU turut mengadakan lawatan ke beberapa booth pameran industri pertahanan semasa menghadiri SAHA Expo tersebut.
SAHA Expo merupakan acara yang mempamerkan produk-produk dari syarikat-syarikat industri pertahanan Turkiye serta syarikat luar negara yang khusus kepada penerbangan, maritim dan angkasa lepas.
Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini menggunakan UAS ANKA MALE (Medium Altitude Long Endurance) yang telah teruji dalam pertempuran, apabila Kementerian Pertahanan dan TAI menandatangani kontrak untuk memperoleh platform UAS ANKA dan peralatan sokongan pada Mei tahun lalu semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2023).
Malaysia dilaporkan bakal menempatkan dron buatan Turkiye itu di pangkalan udara strategik di Labuan untuk memantau sebarang pencerobohan ke perairan negara di Laut China Selatan.
Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan kepentingan melengkapi negara dengan keupayaan pengawasan menyeluruh dan keperluan mempunyai “mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar” segala yang berlaku dalam perairan negara, khususnya di Laut China Selatan.
“Tiga buah dron MALE yang kita perolehi itu akan dikerah ke Laut China Selatan. Kita mesti mempunyai kemampuan mata dan telinga. Mata kita mesti mempunyai kemampuan untuk memandang jauh 350km daripada pantai, “ kata beliau.
Menurutnya, negara mesti mengetahui apa sahaja di Laut China Selatan sebelum ia berlaku.
Malaysia dipercayai memilih varian “Anka-S” yang berupaya terbang selama 24 hingga 30 jam tanpa henti, pada ketinggian 30,000 kaki dan membawa muatan antara 250 hingga 350 kilogram.
Struktur komposit pesawat tanpa pemandu Anka-S itu mengintegrasikan komputer kawalan penerbangan otonomi yang dibangunkan oleh syarikat Turki sendiri bagi membolehkan UAS itu melaksanakan penerbangan menggunakan navigasi waypoint dan kawalan penerbangan.
Sistem kawalan penerbangan otonomi itu membolehkan dron Anka-S itu “pulang” ke lokasi sebagaimana telah ditetapkan terlebih dahulu, sekiranya ia berhadapan dengan kehilangan komunikasi dengan stesen kawalan daratnya.
Radar Synthetic Aperture (SAR), Inverse SAR (ISAR) dan radar Ground Moving Target Indicator (GMTI) yang dibawa oleh dron Anka-S itu digunakan untuk mengesan, mengenalpasti dan menjejak sasaran statik atau bergerak di daratan.
Selain melaksanakan tugas risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR), dron Anka-S yang diperoleh Malaysia juga mempunyai kemampuan membawa empat peluru berpandu MAM Smart Micro yang dibangunkan oleh satu lagi syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan untuk misi serangan darat.
Peluru berpandu MAM juga terdapat dalam beberapa varian iaitu MAM-L (thermobaric), MAM-C (high explosive) dan MAM-T (serangan jarak jauh).
Dron Anka-S juga dilengkapi dengan kamera elektro-optik/inframerah (EO/IR) untuk mengambil imej dan video beresolusi tinggi dalam semua keadaan cuaca, sistem Identification Friend or Foe (IFF), penunjuk sasaran laser dan pengesan jarak laser.
Ia turut dilengkapi dengan antena komunikasi satelit udara ViaSat VR-18C yang berkuasa tinggi, menyediakan komunikasi selamat melepasi garisan penglihatan. — DSA