Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

KD Pendekar “Tersasar Dari Laluan, Terlanggar Terumbu Punggai” – Lembaga Siasatan TLDM

"Berdasarkan daripada rekod laluan kapal tersebut, KD PENDEKAR telah tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai (Stork Reef).” -- Laporan Siasatan TLDM

0 1,823
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lembaga Siasatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah mengeluarkan laporan insiden yang menimpa KD PENDEKAR pada 25 Ogos 2024 sehingga telah menyebabkan kapal serang laju itu karam.
Kapal serang laju milik TLDM berusia 45 tahun itu telah tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang hari berkenaan.
Insiden berlaku apabila kapal menghadapi gegaran kuat diikuti kebanjiran besar semasa menghampiri pesisir pantai untuk melakukan pemeriksaan teknikal.
Lembaga Siasatan TLDM sebagaimana dinyatakan oleh kenyataan TLDM telah mendapati beberapa faktor yang menyumbang kepada insiden ini:
“(1) Kesilapan Panduarah (Navigational Error). Berdasarkan daripada rekod laluan kapal tersebut, KD PENDEKAR telah tersasar dari laluan yang dirancang dan terlanggar Terumbu Punggai (Stork Reef).”
“(2) Keusangan Kapal. Faktor keusangan kapal yang melebihi Dasar Kasting iaitu berusia 45 tahun telah menyukarkan kawalan kebanjiran berikutan kelemahan struktur badan kapal dan mempercepatkan kebanjiran merebak ke kompartmen-kompartmen lain,” menurut kenyataan itu.
KD Pendekar
KD Pendekar (kredit Media Sosial)
Kapal KD PENDEKAR dengan nombor penant-nya 3513 telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 21 Ogos 1979.
Ia berkata, usaha menyelamat dan mengapungkan KD PENDEKAR berjaya diselesaikan pada 15 Oktober 2024 oleh sebuah firma tempatan dan kapal kini dalam proses pemeriksaan teknikal.
Sementara itu, mengenai insiden kematian penyelam TLDM Laskar Kelas I PLM Arman San bin Hermansa ketika melaksanakan operasi salvaj, kenyataan berkata punca kematian penyelam penyelam itu adalah akibat lemas.
“Keadaan di kawasan operasi di mana arus yang tidak menentu dan memukul lumpur di dasar laut mengakibatkan jarak penglihatan menjadi sangat terhad (sekitar 1 kaki pada hari kejadian).”
“Keadaan ini meletakkan seseorang penyelam berada pada situasi yang berisiko tinggi dan tekanan kerja yang mencabar. Apabila tali keselamatan yang digunakan oleh penyelam didapati tersangkut pada kapal tersebut, langkah kecemasan (emergency drill) yang dilakukan oleh penyelam malang ini tidak berhasil seterusnya menyebabkan beliau lemas.”
KD Pendekar
KD Pendekar diapungkan (Kredit TLDM)
Berdasarkan siasatan, SOP penyelaman dan langkah keselamatan telah dipatuhi sebelum tugasan penyelaman dimulakan.
Peralatan menyelam yang digunakan disahkan berfungsi dengan baik sebelum dan selepas penyelaman manakala penyelam juga disahkan kompeten untuk menjalankan tugas penyelaman tersebut.
TLDM menurut kenyataan itu, mengambil serius terhadap dapatan kedua-dua insiden yang berlaku.
“Keselamatan anggota dan kesiagaan armada adalah keutamaan TLDM di samping memastikan kesemua warga TLDM dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan.
Pada 13 Okt lalu, TLDM dalam satu kenyataan menyatakan bahawa KD PENDEKAR telah berjaya diapungkan kembali pada jam 1638H, 12 Oktober 2024.
Kapal itu menurut kenyataan terbabit, sedang menjalani pembaikan awalan sebelum diserahkan kembali kepada TLDM.

KD Pendekar

“Operasi salvage KD Pendekar pada dasarnya telah dapat diselesaikan walaupun terdapat beberapa cabaran.”
“Lokasi di mana kapal tersebut karam kini disahkan selamat dan tiada tinggalan peluru atau bahan letupan yang boleh mengancam keselamatan komuniti maritim khususnya yang sering menggunakan perairan tersebut,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik Markas TLDM.
Ia berkata, masa hadapan kapal yang berusia lebih 45 tahun tersebut akan diputuskan bersekali dengan rancangan “Phasing In – Phasing Out” kapal-kapal usang yang masih di dalam perkhidmatan secara menyeluruh selaras dengan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15 to 5. — DSA

Comments
Loading...