Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM Aturgerak Helikopter EC 725 AP Untuk Misi Bantuan Kemanusiaan di Filipina

Aturgerak aset TUDM ini adalah bagi menzahirkan hasrat murni Kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan menyokong Kerajaan Filipina untuk bantuan logistik udara bagi mobilisasi barangan bantuan bencana kepada rakyat mereka di sekitar kawasan terjejas bencana.

0 67
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Susulan kejadian Taufan Tropika Kristine (Trami) yang telah menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh di Filipina, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengaturgerak sebuah helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan ke negara itu bagi melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan (HADR).
Menurut kenyataan media sosial TUDM, aturgerak aset TUDM ini adalah bagi menzahirkan hasrat murni Kerajaan Malaysia dalam memberikan bantuan kemanusiaan dan menyokong Kerajaan Filipina untuk bantuan logistik udara bagi mobilisasi barangan bantuan bencana kepada rakyat mereka di sekitar kawasan terjejas bencana.
Pesawat TUDM telah berlepas pada jam 7.00 pagi tadi dari Pangkalan Udara Labuan ke Pangkalan Udara Villamor di Manila.
Penerbangan dijangka mengambil masa 5 jam 30 minit dan pasukan TUDM akan melaksanakan persinggahan di Pangkalan Udara Autonio Bautista terlebih dahulu bagi pengisian minyak.
Misi penerbangan diketuai oleh Mejar Thaddeus Raphael ak Azis @ Sait TUDM bersama 15 pegawai dan anggota TUDM yang lain terdiri daripada dua (2) juruterbang, seorang pembantu juruterbang, dua (2) pegawai kejuruteraan, dua (2) kuartermaster udara, lima (5) juruteknik pesawat dan empat (4) anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU).
TUDM
(kredit FB TUDM)
Pangkalan Udara Vilamor akan menjadi stesen utama bagi misi bantuan ini sebelum pasukan TUDM akan diaturgerak ke kawasan bencana yang diperlukan untuk penghantaran bantuan oleh kerajaan Filipina termasuk ke Lapangan Terbang Pili di Naga City dan Lapangan Terbang Antarabangsa di Daragay Albay.
Pejabat Pertahanan Awam (OCD) di Filipina melaporkan 81 kematian akibat kesan dahsyat Ribut Tropika Kristine (Trami) yang melanda pelbagai kawasan di negara ini, minggu ini.
Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan Pentadbir OCD, Setiausaha Rendah Ariel Nepomuceno, berkata angka itu bagaimanapun masih ‘tertakluk kepada pengesahan’ untuk menentukan sama ada kematian mangsa berkaitan secara langsung dengan ribut itu.
“Sebanyak 81 kematian dilaporkan pejabat wilayah kami. Angka itu akan disahkan oleh Polis Nasional Filipina (PNP) sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan (DILG),” katanya.
Lebih separuh daripada jumlah korban dicatatkan di Wilayah Calabarzon membabitkan 48 kematian, diikuti Bicol (28).
H225M
Helikopter EC725 TUDM
Berdasarkan data dikeluarkan OCD, sekurang-kurang dua kematian dilaporkan di Wilayah Cordillera dan masing-masing satu di Ilocos, Luzon Tengah serta Semenanjung Zamboanga.
Bilangan individu dilaporkan hilang telah meningkat kepada 34, dengan kebanyakannya dipercayai terperangkap akibat tanah runtuh.
“Semoga kami masih dapat mengesan mereka, namun ramai mungkin menjadi mangsa tanah runtuh,” katanya. — DSA
Comments
Loading...