Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Arab Saudi Dilapor Pertimbang Pembelian 100 Buah Pesawat Pejuang Gen-5 “KAAN” Buatan Turkiye

Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” oleh Arab Saudi itu dikata telah dibincangkan ketika lawatan Panglima Tentera Udara Diraja Arab Saudi Putera Turki bin Bandar Al Saud ke Turkiye itu baru-baru ini.

0 487
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Arab Saudi dilaporkan sedang menimbangkan cadangan untuk memperolehi kira-kira 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” yang sedang dibangunkan oleh Turkiye.
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” oleh Arab Saudi itu dikata telah dibincangkan ketika lawatan Panglima Tentera Udara Diraja Arab Saudi Putera Turki bin Bandar Al Saud ke Turkiye itu baru-baru ini.
Ketika lawatannya ke Turkiye itu, Putera Turki telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat pertahanan negara Mediterranean itu termasuk Roketsan, Aselsan dan syarikat pembuat “KAAN” iaitu Turkish Aerospace Industries (TAI).
“Lawatan Putera Turki ke Turkiye itu telah memberikan beliau dan delegasi Arab Saudi dengan maklumat terkini tentang kemampuan pesawat pejuang KAAN itu serta cadangan kerjasama strategik antara kedua-dua negara berkenaan pesawat pejuang generasi kelima itu, “ menurut laporan media pertahanan antarabangsa.
Kerjasama itu berkemungkinan melibatkan pemindahan teknologi dan pembuatan pesawat pejuang generasi kelima itu dalam negara.
KAAN
“KAAN” ketika melakukan penerbangan keduanya.
Cadangan perolehan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan Arab Saudi dan Turkiye mahu mengeratkan hubungan pertahanan antara kedua-dua kuasa serantau itu.
Pada 18 Julai tahun lepas, Arab Saudi mengumumkan bahawa ia bakal membelanjakan US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi sistem pesawat tanpa pemandu (dron) “Akinci” MALE (Medium Altitude Long Endurance) keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar Technology.
Pembelian dron Akinci MALE bernilai US$3 bilion oleh Arab Saudi merupakan kontrak pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye.
Pada 6 Ogos yang lalu pula, syarikat pertahanan Saudi Arabian Military Industries (SAMI) mengumumkan bahawa 70 peratus daripada komponen dron “Akinci” yang bakal diperolehi oleh Arab Saudi itu akan dibuat dalam negara.
Ia adalah sebahagian daripada langkah Arab Saudi untuk meningkatkan kemampuan industri pertahanannya.
Selain SAMI yang menandatangani perjanjian dengan syarikat pembuat dron “Akinci”, Baykar Technology, sebuah lagi syarikat Arab Saudi, National Company for Mechanical Systems (NCMS) pula memeterai perjanjian dengan syarikat Aselsan daripada Turkiye yang membina sistem electro-optical bagi dron bersenjata itu.
KAAN
NCMS turut menandatangani perjanjian dengan syarikat Roketsan daripada Turkiye, yang menghasilkan sebahagian besar sistem persenjataan dron “Akinci” serta pelbagai sistem persenjataan lain.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Aselsan, kedua-dua pihak akan terlibat dalam usaha menghasilkan dalam bidang electro-optical surveillance, targeting system, guidance kits dan bom-bom pintar yang digunakan oleh dron-dron keluaran syarikat Baykar.
Tentera Udara Turkiye dijangka akan menerima lebih daripada 100 buah pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” sebaik sahaja pesawat pejuang yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) itu dihasilkan secara besar-besaran (mass production).
Perkara itu dimaklumkan oleh ketua pegawai eksekutifnya yang baru Mehmet Demiroglu.
TAI  merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN”.
Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” pada 2016.
Akinci
UCAV Akinci dengan sistem persenjataannya.
TAI dijangka mula menyerahkan 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.
Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.
Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye
Pada awal Jun lalu, “KAAN” telah berjaya melakukan penerbangannya yang kedua, beberapa bulan selepas penerbangan sulung bersejarahnya Februari lalu.
Pada penerbangan keduannya itu, pesawat pejuang generasi kelima  “KAAN” berada di udara selama 14 minit, terbang di altitud 10,000 kaki dengan kelajuan 230 knot, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Industri Pertahanan (SSB) negara itu.
Penerbangan sulung “KAAN” berlaku pada 21 Februari yang lalu, memastikan Turkiye menyertai segelintir negara di dunia ini yang berkemampuan membangunkan pesawat pejuang generasi kelima dengan sendirinya. — DSA

Comments
Loading...