Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Malaysia, Kuwait Tubuhkan Jawatankuasa Mula Bincang Perolehan F/A-18C/D Milik KAF

Kerajaan Malaysia dan Kuwait telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memulakan rundingan tentang perolehan pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait.

0 5,428
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Malaysia dan Kuwait telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memulakan rundingan tentang perolehan pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi posting terbarunya dalam akaun FB.
“Saya turut menyatakan hasrat Malaysia untuk memperoleh pesawat tempur jenis F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait, dan telah menerima maklum balas positif daripada beliau mengenainya.”
“Malaysia dan Kuwait bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi memulakan perbincangan serta rundingan bagi tujuan perolehan pesawat tempur jenis Legacy Hornet berkenaan,” kata Menteri Pertahanan.
Menurut beliau, lawatan kerja rasminya ke Kuwait hari ini dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri Kuwait, Sheikh Fahad Yousef Saud Al-Sabah di Kementerian Pertahanan Kuwait.
Khaled
(kredit FB Mohamed Khaled)
Semasa pertemuan, beliau juga telah menyatakan komitmen Malaysia untuk memperkukuh dan mempertingkat kerjasama pertahanan antara dua negara.
Komitmen ini akan dizahirkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang kini berada di peringkat akhir.
“Hubungan sedia ada antara kedua buah negara akan terus ditingkatkan, meliputi latihan dan pertukaran pegawai tentera, perkongsian maklumat serta penyelidikan dan pembangunan dalam teknologi pertahanan,” kata Mohamed Khaled.
Beliau juga menyatakan pendirian tegas Malaysia mengenai situasi di Gaza dan Selatan Lubnan, yang mana ketegangan perlu dihentikan dan bantuan kemanusian perlu segera disalurkan.
Dalam posting awal hari ini, Mohamed Khaled mengesahkan beliau sedang berada di Kuwait dalam rangka kerja lawatan rasmi ke negara Timur Tengah itu, dipercayai berkait-rapat dengan usaha Malaysia membeli pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait (KAF).
Khaled
(kredit FB Mohamed Khaled)
Delegasi Malaysia turut disertai Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Mohd Yani Daud bersama pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Markas Tentera Udara Malaysia.
Menteri Pertahanan juga akan mengadakan lawatan ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber milik Tentera Udara Kuwait yang menempatkan pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik tentera udara negara itu.
ada Jun lepas, pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.
Panglima TUDM dilaporkan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.
Tentera Udara Kuwait mempunyai 39 pesawat F/A-18C/D Hornet terdiri daripada pesawat pejuang satu dan dua tempat duduk.
Malaysia merancang memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum TUDM dilengkapi dengan pesawat pejuang Multi Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.
Hornet
Pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Kuwait
Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.
Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya,  Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.
Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion (RM38.73 billion) — DSA

 

Comments
Loading...