Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Kenderaan Pengaman PBB Malaysia Diserang di Lubnan

(VIDEO) Serangan terhadap kenderaan milik anggota pengaman PBB Malaysia itu berlaku ketika situasi di Lubnan amat tegang akibat insiden letupan alat kelui (pager) dan walkie-talkie di negara itu yang dipercayai dilakukan oleh pihak agensi perisikan.

0 282
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dua hari lalu, video dua kenderaan Tentera Pengaman PBB Batalion Malaysia (MALBATT 850-11) diserang oleh sekumpulan orang awam di Lubnan telah tersebar di media-media sosial dalam dan luar negara.
Serangan terhadap kenderaan milik anggota pengaman PBB Malaysia itu berlaku ketika situasi di Lubnan amat tegang akibat insiden letupan alat kelui (pager) dan walkie-talkie di negara itu yang dipercayai dilakukan oleh pihak agensi perisikan.
Insiden letupan alat kelui dan walkie-talkie itu mengorbankan kira-kira 30 orang dan mencederakan ribuan yang lain.
Sementara itu, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, dalam kejadian jam 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia) tiga pegawai serta tujuh anggota kelainan pangkat berada dalam dua kenderaan Fitted For Radio (FFR) MALBATT 850-11.
“Semua mereka dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah MALBATT 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL.
“Ketika melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di Bandar Tyre, berlaku kesesakan luar biasa dan ketika itulah, ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas yang mana terdapat banyak kenderaan ambulans dan bomba yang melalui dari kedua-dua arah.
“Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif cuba memberhentikan kedua-dua kenderaan MALBATT. Hampir 30 individu membaling batu dan memancitkan semua tayar kenderaan MALBATT menggunakan senjata tajam,” katanya.
Bagi mengelak kejadian lebih buruk, ketua pergerakan mengarahkan kenderaan berhenti di tepi jalan selamat dan kekal berada dalam kenderaan bagi menanti bantuan daripada Angkatan Tentera Lubnan (LAF).
Anggota LAF tiba dilokasi dan berjaya mengawal keadaan seterusnya membantu mengkoordinasi ‘loader’ bagi membawa balik kenderaan dan anggota ke Kem Marakah sebelum tiba pada jam 7.39 malam waktu tempatan (1.39 pagi waktu Malaysia).
“Tiada sebarang kecederaan dialami oleh pegawai dan anggota terbabit.
“Bagaimanapun kedua-dua kenderaan mengalami beberapa kesan kerosakan,” katanya.

Lubnan

MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat ditetapkan oleh UNIFIL dan semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu yang boleh mencemarkan imej ATM serta Kementerian Pertahanan.
Pada Mac lalu, media-media Lubnan melaporkan kenderaan berperisai milik UNIFIL yang didakwa membawa anggota pengaman dari Malaysia dipercayai ditahan penduduk tempatan dan diserahkan kepada pejuang Hezbollah di kawasan Hay al-Sellom di Dahiyeh, selatan Beirut.
Portal berita berbahasa Arab, Lubnan Al-Modon pula mengeluarkan video memaparkan keadaan dalam kenderaan perisai UNIFIL itu yang antara lain menunjukkan di stereng kenderaan perisai terdapat perkataan “Cendana Auto” dan beberapa peralatan peribadi milik anggota pengaman.
Timbalan Jurucakap UNIFIL Kandice Ardiel ketika bercakap dengan stesen televisyen tempatan, Lebanese Broadcasting Corporation International (LBCI) mengesahkan kejadian itu yang membawa kepada penahanan sementara anggota pengaman UNIFIL.
“Sebuah kenderaan pasukan pengaman PBB yang sedang dalam perjalanan rutin logistik ke Beirut telah memasuki jalan yang tidak dirancang,” menurut Kandice. — DSA

Comments
Loading...