Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pejuang Houthi Tembak Jatuh Dron MQ-9 Reaper Milik Tentera Amerika Yang Kelapan

Dron MQ-9 Reaper buatan syarikat Amerika Syarikat, General Atomics yang dianggarkan bernilai US$30 juta (RM135 juta) sebuah itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu di Wilayah Marib di Yemen.

0 7,445

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kumpulan bersenjata Houthi di Yemen mendakwa pejuang-pejuangnya telah menembak jatuh sebuah lagi dron MQ-9 Reaper milik tentera Amerika Syarikat kerana melakukan aktiviti menjejaskan keselamatan terhadap negara Arab itu.

 Dron MQ-9 Reaper buatan syarikat Amerika Syarikat, General Atomics yang dianggarkan bernilai US$30 juta (RM135 juta) sebuah itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu di Wilayah Marib di Yemen.

Ini merupakan dron MQ-9 Reaper milik tentera Amerika Syarikat yang ke-lapan berjaya ditembak jatuh oleh kumpulan-kumpulan pejuang sejak konflik di antara Israel dengan Palestin itu tercetus pada 7 Oktober tahun lepas.

“Sebuah dron MQ-9 Reaper milik tentera Amerika Syarikat telah ditembak jatuh ketika ia melaksanakan misi musuh di ruang udara di wilayah Marib. Ia adalah dron MQ-9 Reaper ke-lapan telah ditembak jatuh  untuk menyokong perjuangan Palestin di Gaza,” kata jurucakap kumpulan Houthi Brig Jen Yahya Saree.

Tentera Amerika Syarikat menggunakan dron MQ-9 Reaper yang dibangunkan oleh syarikat General Atomics Aeronautical Systems (GASI) untuk tujuan memastikan kawasan perairan di pesisiran pantai Yemen itu selamat bagi digunakan oleh kapal-kapal komersial.

MQ-9 Reaper
MQ-9 Reaper

 

Dron canggih itu berkemampuan untuk terbang selama 27 jam tanpa henti dan setinggi 50,000 kaki serta membawa muatan seberat lebih daripada 1.7 tan termasuk sistem sensor dan elektronik yang sensitive.

Dron MQ-9 Reaper yang dioperasikan terutamanya untuk operasi dan misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) juga boleh dilengkapi dengan peluru berpandu “Hellfire”, GBU-12 Paveway II, GBU-38 Joint Direct Attack Munition (JDAM) untuk tujuan serangan.

Berdasarkan kepada data yang diperolehi pada 2021, tentera Amerika Syarikat (terutamanya Tentera Udara Amerika Syarikat – USAF) dilaporkan mengoperasikan sejumlah lebih daripada 300 buah dron-dron MQ-9 Reaper yang mula diperkenalkan kepada tentera Amerika Syarikat pada 2007.

Dron MQ-9 Reaper itu dijangka akan menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2035.

Kumpulan bersenjata Houthi itu dipercayai menggunakan peluru berpandu canggih “Saqr 358” yang memiliki kombinasi kemampuan sebagai sebuah dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat.

Peluru berpandu dwi-mod “Saqr 358” itu menggabungkan kemampuan sebagai dron berani mati dan juga peluru berpandu anti-pesawat dengan sasaran utama adalah dron-dron yang dioperasikan oleh musuh Iran di kawasan-kawasan konflik di Timur Tengah.

Dibangunkan oleh Iran, peluru berpandu canggih itu turut digunakan dengan berkesan oleh kumpulan-kumpulan proksi Iran di beberapa kawasan konflik di Timur Tengah seperti Houthi di Yemen dan beberapa kumpulan bersenjata lain di Iraq dan kini oleh Hezbollah di selatan Lubnan.

Saqr
Peluru berpandu “Saqr-358”

 

Sejak 2020, kumpulan bersenjata Houthi telah mengeluarkan video menunjukkan penggunaan peluru berpandu “Saqr 358” sebagai peluru berpandu anti-pesawat dalam memusnahkan pesawat pejuang, helikopter dan dron-dron.

Setakat ini tidak banyak yang diketahui tentang spesifikasi teknikalnya peluru berpandu dwi-mod itu, tetapi “Saqr 358” memiliki panjang hampir 3 meter manakala diameternya peluru berpandunya adalah 152mm.

Berat keseluruhannya adalah 50kg dan menggunakan enjin turbojet yang kecil serta berkemampuan terbang dalam jarak daripada 10km sehingga kepada 100km.

Peluru berpandu canggih Iran itu menggunakan peledak High Fragmentation seberat 10kg dan ia tidak memerlukan sistem pelancaran yang canggih, selain mudah dipindahkan daripada satu lokasi ke satu lokasi.

Peluru berpandu dwi mod itu juga dilihat telah menyertai beberapa perarakan oleh tentera Iran yang memaparkan “Saqr 358.” — DSA

Comments
Loading...