Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Tawar Faedah Rendah Untuk Beli F-16, Saingi Tawaran JAS39 Gripen Sweden

Amerika Syarikat dilaporkan telah menawarkan kadar faedah yang lebih rendah kepada Thailand sekiranya negara Asia Tenggara itu membeli pesawat pejuang F-16 Block 70 keluaran syarikatnya, Lockheed Martin dan bukan JAS39 E/F Gripen buatan Sweden.

0 6,061

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat dilaporkan telah menawarkan kadar faedah yang lebih rendah kepada Thailand sekiranya negara Asia Tenggara itu membeli pesawat pejuang F-16 Block 70 keluaran syarikatnya, Lockheed Martin dan bukan JAS39 E/F Gripen buatan Sweden.

Menurut laporan Bangkok Post, sumber memberitahu Kementerian Pertahanan Thailand bahawa tawaran kadar faedah rendah dibuat oleh pihak Amerika Syarikat hanya beberapa hari selepas pesawat pejuang buatan Sweden itu dilaporkan menjadi pilihan Thailand.

Panglima RTAF ACM Phanphakdee Phattanakul dilaporkan telah mengemukakan perincian tentang pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F dan F-16 Block 70 kepada Menteri Pertahanan Sutin Klungsang dan Perdana Menteri Srettha Thavisin untuk membuat keputusan.

“Kita perlu menunggu apa yang akan ditawarkan pula oleh syarikat Sweden, Saab untuk menyaingi tawaran Amerika Syarikat itu,” kata sumber itu.

Beliau juga berkata bahawa kerajaan Thailand tidak akan membuat keputusan pemilihan pesawat pejuang itu dengan cepat dan akan membiarkan syarikat Amerika Syarikat dan Sweden itu bersaing sesama mereka sendiri.

F-16
F-16V Block 70/72 oleh Lockheed Martin

 

Panglima RTAF pegawai-pegawai kanannya dilaporkan telah pergi ke Parlimen Thailand Rabu lepas untuk membentangkan cadangan belanjawan bagi cabang angkata tentera Thailand memandang Belanjawan bagi 2025 akan bermula pada 1 Okt depan.

Ditanya oleh pemberita, ACM Phanphakdee memberitahu  bahawa telah berbincang dengan Menteri Pertahanan negara itu tentang keperluan untuk memperolehi pesawat pejuang baru untuk RTAF.

Beliau berkata, Menteri Pertahanan akan mengemukakan cadangan oleh RTAF itu kepada Perdana Menteri.

RTAF mengoperasikan kira-kira 50 buah pesawat pejuang F-16 dan 11 buah pesawat pejuang JAS39 Gripen pada ketika ini.

Bulan lepas, syarikat SAAB telah membuka pintu kemudahannya di Sweden untuk para pengamal media Thailand bagi membolehkan mereka melihat dengan lebih dekat kemudahan canggih itu, sebagaimana dilaporkan oleh Bangkok Post.

Lawatan media Thailand itu turut dibawa melawat kemudahan pembinaan pesawat pejuang Gripen E/F, varian terkini pesawat pejuang itu yang ditawarkan kepada RTAF.

Saab Group
 JAS39 Gripen-E Multi Role Combat Aircraft

 

Sebenarnya tanda-tanda bahawa Thailand akan memiih pesawat pejuang Gripen telah pun kelihatan jelas sejak beberapa bulan lalu, tetapi ia semakin kelihatan baru-baru ini dengan kunjungan Panglima RTAF ACM Phanpakdee Phattanakul dan pegawai-pegawai tinggi yang lain ke Sweden pada awal Mei untuk mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pengurusan kanan SAAB.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan Thailand Sutin Klungsang menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah menawarkan pinjaman (loan) kepada negara Asia Tenggara itu untuk membeli pesawat-pesawat pejuang F-16 Block 70 secara sekaligus.

Kerajaan Thailand kerap kali membeli pesawat pejuang secara berperingkat, sebagai contohnya, pada tahun ini ia akan membeli empat buah pesawat pejuang dan tahun depan empat lagi buah sehinggalah mencapai 12 buah pesawat untuk dijadikan satu skuadron.

Menurut Sutin, tawaran pinjaman oleh Amerika Syarikat itu telah disampaikan oleh duta Amerika Syarikat ke Thailand Frank Godec dalam pertemuan mereka di Kementerian Pertahanan di Bangkok.

Menteri Pertahanan Thailand berkata, dalam pertemuan itu Godec telah menawarkan pinjaman kepada kerajaan Thailand untuk membeli pesawat-pesawat pejuang F-16 secara sekaligus dan tidak secara berperingkat.

“Bagaimanapun sekiranya Thailand menerima tawaran pinjaman oleh Amerika Syarikat itu, kami terpaksa menanggung kadar faedah yang tinggi,” katanya dan menambah, negara-negara lain juga menawarkan pinjaman kepada Thailand untuk memperolehi pesawat pejuang. — DSA

Comments
Loading...