Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kereta Kebal “Altay” Turkiye Dilengkapi Dengan Armor Komposit Reaktif Termaju

Dibangunkan oleh Ballistic Protection Centre milik syarikat pertahanan tempatan, ROKETSAN, sistem armor komposit dan reaktif yang bakal dipasang pada kereta kebal Altay itu disifatkan sebagai sistem armor kereta kebal termaju di pasaran.

0 3,414

(DEFENCE SECURITY ASIA)Kereta kebal buatan tempatan Turkiye “Altay” yang mula dibina secara besar-besaran (mass production) akan dilengkapi dengan sistem armor komposit reaktif termaju untuk melindungi krew kereta daripada serangan pihak  musuh.

Dibangunkan oleh Ballistic Protection Centre milik syarikat pertahanan tempatan, ROKETSAN, sistem armor komposit reaktif yang bakal dipasang pada kereta kebal Altay itu disifatkan sebagai sistem armor kereta kebal termaju di pasaran.

ROKETSAN merupakan syarikat pertahanan Turkiye yang bertanggungjawab membangunkan pelbagai jenis sistem peluru berpandu, roket serta bom-bom untuk kegunaan tentera negara itu serta pelanggan luar negara.

Kini ia membangunkan pula sistem armor komposit reaktif yang akan digunakan oleh kereta kebal utama buatan tempatan.

Dalam projek membangunkan sistem armor generasi baru untuk keperluan kereta kebal utama Turkiye, “Altay”, syarikat ROKETSAN menitikberatkan ciri-ciri seperti keberkesanannya serta sistem armor ringan menggunakan bahan-bahan termaju.

Altay
Kereta kebal “Altay”Turkiye akan dilengkapi dengan sistem armor dibangunkan oleh syarikat tempatan, ROKETSAN.

 

Sistem armor komposit reaktif untuk kereta kebal “Altay” itu adalah suatu sistem yang hybrid dibangunkan oleh sekumpulan jurutera ROKETSAN bagi menangani ancaman terhadap kereta kebal pada masa kini.

Menggunakan bahan-bahan berteknologi tinggi dalam penghasilan sistem armor komposit reaktif terkini untuk kereta kebal utama itu, perlindungan diberikannya kepada krew kereta kebal itu adalah amat tinggi walaupun berat sistem armor itu adalah pada kadar minimum.

Jika dibandingkan dengan pesaing-pesaingnya di pasaran, sistem armor komposit reaktif dibangunkan oleh ROKETSAN adalah jauh lebih baik dalam memberikan perlindungan kepada kompartmen diduduki krew dan sub-sistem kenderaan daripada bedilan berulang kali.

Ia juga memberikan perlindungan maksimum daripada tembakan peluru APFSDS, perlindungan daripada peledak “tandem warheads” roket dan peluru berpandu anti-kereta kebal, kerosakan kolateral yang rendah selain rekabentuk yang fleksible bagi memudahkan ia dipasang untuk platform-platform lain.

Sistem armor komposit reaktif dibangunkan oleh ROKETSAN itu mempraktikkan kaedah “Open Architecture” bagi membolehkan ia dinaiktaraf tanpa masalah untuk menangani ancaman masa kini dan masa depan.

Altay
“Altay”

 

Pada ketika ini, usaha untuk menghasilkan sistem armor itu secara besar-besaran sedang dilaksanakan oleh ROKETSAN dan ia berhasrat untuk menyerah kira-kira 250 set sistem armor untuk dilengkapkan pada kereta kebal “Altay.”

Sistem armor komposit reaktif yang dibangunkan oleh ROKETSAN itu boleh digunakan untuk kesemua varian kereta kebal “Altay” serta pelbagai kereta kebal yang dimiliki oleh Tentera Darat Turkiye.

Pada masa depan ia juga boleh digunakan untuk kenderaan darat milik pasukan keselamatan negara Mediterranean itu.

ROKETSAN juga merancang untuk mengeksport sistem armor yang dibangunkannya itu kepada negara-negara luar, dengan terlibat dalam usaha menaiktaraf kereta kebal dimilik oleh negara terbabit menggunakan sistem armor keluarannya.

Pada Jun lalu, agensi pertahanan Turkiye menyatakan ia akan memulakan produksi besar-besaran kereta kebal “Altay” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan tempatan, BMC Defence selepas beberapa tahun berada di dalam fasa pembangunan.

Ketua Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) Haluk Gorgun pada ketika itu berkata, kereta kebal “Altay” itu telah dinaiktaraf untuk memenuhi keperluan peperangan moden pada masa ini.

Altay

“Kita telah memulakan produksi besar-besaran kereta kebal utama Altay. Terdapat beberapa negara yang mahu bekerjasama dengan kita diperingkat antarabangsa dan kita sedang berunding dengan mereka, “ menurut Gorgun.

BMC Defense adalah syarikat 100 milik Turkiye dan memiliki Hak Harta Intelek (Intelectual Property Rights) terhadap kereta kebal Altay dan enjinnya buatan tempatannya yang bakal dihasilkan di kilang milik Presidency of Defense Industries (SSB).

Untuk fasa pertama, syarikat BMC Defense akan menghasilkan 250 buah kereta kebal utama “Altay” di kemudahan syarikat terbabit di Ankara yang akan menghasilkan lapan buah kereta kebal utama itu dalam sebulan, menurut pengurus besar syarikat itu, Mehmet Karaaslan.

Secara keseluruhannya, syarikat BMC akan menghasilkan 1,000 kereta kebal “Altay” untuk Tentera Darat Turki.

Kereta kebal utama “Altay” mempunyai berat 65 tan dan dilengkapi dengan meriam 120mm serta berkeupayaan membawa kira-kira 40 butir peluru di dalam badan kereta kebal itu. — DSA

Comments
Loading...