Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kenderaan Perisai K200 MIFV Tentera Darat Malaysia Bakal Dinaiktaraf, Ditingkat Upaya

Pada 2 Ogos lalu,  Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak telah menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian Technology Partnership Strategy antara Cendana Auto Sdn Bhd dan Hanwha Aerospace.

0 7,646

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Korea Selatan, Hanwha Aerospace dan rakan tempatan mereka, Cendana Auto telah menandatangani Memorandum Perjanjian baru-baru ini untuk menaiktaraf kenderaan perisai berantai (tracked) K200 MIFV (Malaysia Infantry Fighting Vehicle) milik Tentera Darat Malaysia.

Pada 2 Ogos lalu,  Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Isham Ishak telah menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian Technology Partnership Strategy antara Cendana Auto Sdn Bhd dan Hanwha Aerospace.

Syarikat Hanwha Aerospace telah mengesahkan kepada portal pertahanan antarabangsa, Janes pada 9 Ogos lalu bahawa kedua-dua syarikat akan membangunkan kenderaan prototaip K200 MIFV yang dinaiktaraf untuk tujuan ujian dan kajian (evaluation).

Selepas verifikasi, program naiktaraf itu akan meliputi kesemua kenderaan perisai K200 MIFV milik Tentera Darat Malaysia.

Dalam laporan oleh Janes itu, ia tidak menyatakan nilai kontrak naiktaraf kenderaan perisai K200 MIFV millik Tentera Darat Malaysia itu.

Malaysia
Memorandum Perjanjian antara Cendana Auto dan Hanwha Aerospace.

 

Menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan lagi, pemeteraian Memorandum Perjanjian  itu adalah usaha untuk membangunkan industri pertahanan tempatan di dalam bidang ’Maintenance, Repair & Overhaul’ (MRO) kenderaan perisai.

Ia juga adalah usaha untuk menjadikan Malaysia antara HUB bagi MRO serantau dalam sektor MRO-Automotif.

“Selain itu, usahasama ini berupaya untuk menyumbang dalam pembangunan Industri Pertahanan Tempatan di samping memberi peluang serta nilai tambah kepada anak-anak tempatan untuk turut serta menimba ilmu dan kepakaran di dalam bidang ’Defence Technology & Engineering’ dan R&D.”

Jurucakap syarikat Hanwha Aerospace memberitahu Janes bahawa kerja-kerja untuk melaksanakan Memerandum Perjanjian itu akan dilaksanakan dengan serta-merta.

“Bagaimanapun kami tidak dapat mendedahkan tempoh masa. Selepas menjalani proses pengujian, program itu akan diperluas untuk meliputi kesemua kenderaan perisai K200 MIFV yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Malaysia,” katanya sumber.

Malaysia
K200 MIFV

 

Kerja-kerja naiktaraf kenderaan perisai dipercayai akan turut melibatkan termal optik siang/malam, Remote Control Weapon Station (RCWS)  dan enjin yang lebih berkuasa.

Kerja-kerja naiktaraf kenderaan perisai akan dilaksanakan oleh syarikat Cendana Auto yang berpangkalan di Putrajaya.

Hanwha Aerospace enggan menyatakan secara terperinci peralatan dan komponen yang digunakan oleh kenderaan perisai K200 MIFV itu.

Tentera Darat dipercayai memiliki 111 buah kenderaan perisai K200 MIFV yang mula diperolehi dalam beberapa peringkat bagi membantu operasi tentera kita di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di wilayah bergolak, Bosnia-Herzegovina.

Malaysia

Tentera Darat Malaysia menerima kesemua kenderaan perisai K200 MIFV itu secara berperingkat bermula daripada tahun 1993 hingga 1995.

Kenderaan perisai K200 MIFV itu memiliki berat 13 tan dan dilengkapi dengan mesingan berat 12.7mm. — DSA

Comments
Loading...