Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sistem Pertahanan Udara 3rd Khordad Milik Iran “Menanti” Dron Amerika

Dioperasikan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, sistem pertahanan udara jarak sederhana “3rd Khordad” milik Iran itu adalah satu-satunya sistem pertahanan udara yang telah berjaya menembak jatuh dron RQ-4 Global Hawk BAMS-D  yang dioperasikan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat di Selat Hormuz pada 20 Jun 2019.

0 1,254

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sistem pertahanan udara “3rd Khordad” atau “Sevvom Khordad” milik Iran merupakan sistem pertahanan udara jarak sederhana yang telah terbukti keberkesanannya dan telah pun mencapai kejayaan ketika beroperasi di dalam situasi sebenar.

Dioperasikan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, sistem pertahanan udara jarak sederhana “3rd Khordad” milik Iran itu adalah satu-satunya sistem pertahanan udara yang telah berjaya menembak jatuh dron RQ-4 Global Hawk BAMS-D  yang dioperasikan oleh Tentera Udara Amerika Syarikat di Selat Hormuz pada 20 Jun 2019.

Sebab itulah, sistem pertahanan udara “3rd Khordad” Iran itu menggerunkan musuh-musuh Iran.

Dron RQ-4 Global Hawk milik Amerika Syarikat adalah dron High Altitude Long Endurance (HALE), untuk operasi jarak jauh dan yang lama.

Pegawai-pegawai kanan tentera Iran mengatakan bahawa dron berteknologi tinggi Amerika itu ditembak jatuh selepas ia menceroboh ruang udara negara Parsi itu,manakala pegawai kanan Washington pula mendakwa ketika ditembak jatuh dron Global Hawk itu berada di ruang udara antarabangsa.

Khordad

Dron Global Hawk Amerika itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu yang dilancar daripada sistem pertahanan udara “3rd Khordad” ketika dron HALE itu berada di Garuk di Wilayah Hormozgan.

Walaupun insiden penembakan jatuh dron Global Hawk Amerika itu berlaku kira-kira lima tahun lepas, namun ia tetap dikenang oleh tentera Iran sebagai satu insiden yang membanggakannya, terutamanya membabitkan kejayaan sistem pertahanan udara buatan tempatan dalam “menewaskan” senjata Amerika Syarikat.

Dan pada ketika ketegangan di antara Iran dan Amerika Syarikat memuncak di Timur Tengah pada ketika, sudah pasti sistem pertahanan udara “3rd Khordad”  berada di barisan hadapan untuk memantau sebarang objek asing terutamanya aset-aset tentera Amerika daripada menceroboh ruang udara negara Parsi itu.

Malah pada pameran pertahanan dan keselamatan DSA & NATSEC 2024 yang baru sahaja berakhir di Kuala Lumpur baru-baru ini, delegasi Iran turut membawa model sistem pertahanan udara jarak sederhana “3rd Khordad” itu.

Rekabentuk sistem pertahanan udara “3rd Khordad” itu adalah hampir sama sebagaimana sistem pertahanan udara “BUK” yang digunakan oleh Russia.

Khordad
“3rd Khordad”

 

Menurut Brigadier Ali Reza Balali yang merupakan penasihat kepada Kor Pengawal Revolusi Islam Iran  ketika ditemuramah dengan agensi berita FARS berkata, sistem pertahanan udara “3rd Khordad” adalah platform bergerak dan taktikal untuk menentang tentera Amerika Syarikat dirantau itu.

Sistem pertahanan udara jarak sederhana yang dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri terdiri daripada sebuah kenderaan bergerak yang turut menempatkan tiga butir peluru berpandu Taer-2 dan sebuah radar.

Radar yang dibawa oleh kenderaan itu adalah daripada jenis radar AESA X –Band Active Phase Array yang berkemampuan mengesan 100 sasaran, menangani empat sasaran dan melancarkan dua peluru berpandu dalam tempo yang ditetapkan.

Iran
Model sistem pertahanan udara “3rd Khordad” pada pameran DSA & NATSEC 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Global Hawk
Dron altitud tinggi RQ-4 “Global Hawk”

 

Sebuah battalion sistem pertahanan udara jarak sederhana 3rd Khordad pula merangkumi empat buah Transporter Erector Launchers dan Radars (TELAR), lapan buah kenderaan Transport Erector Launcher (TEL)  dan sebuah Bashir S-band Phased Array Surveillance Radar, yang berkemampuan mengesan sasaran daripada jarak 350 km.

Sementara itu,laporan baru-baru ini juga menyatakan sistem pertahanan udara “3rd Khordad” kini dilengkapi dengan varian peluru berpandu pertahanan udara Taer-3 yang berkemampuan menembak jatuh sasaran udara pada jarak 200km. — DSA

 

Comments
Loading...