Korea Selatan Cuba Tarik Perhatian Malaysia Terhadap Sistem MERAD “KM-SAM (Cheongung)”
Beberapa portal pertahanan asing menyatakan selepas kejayaan menjual pesawat pejuang ringan FA-50M kepada Malaysia, Korea Selatan kini sedang cuba menarik perhatian Malaysia terhadap sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD – Medium Range Air Defence System) yang dibangunkan oleh firma pertahanan negara itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas Malaysia menandatangani kontrak untuk memperolehi 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M bernilai kira-kira RM4 billion daripada Korea Selatan, hubungan pertahanan antara kedua-dua negara benua Asia itu tidak dapat dinafikan semakin erat.
Semasa berlangsungnya DSA & NATSEC 2024 baru-baru ini, Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga telah menerima kunjungan hormat Menteri Pentadbiran Program Perolehan Pertahanan (Defence Acquisition Program Administration — DAPA) Korea Selatan Mej Jen (B) Seok Jong Gun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia, kedua-dua mereka antara lain bagi membincangkan hala tuju industri pertahanan bagi kedua-dua buah negara.
Beberapa portal pertahanan asing menyatakan selepas kejayaan menjual pesawat pejuang ringan FA-50M kepada Malaysia, Korea Selatan kini sedang cuba menarik perhatian Malaysia terhadap sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD – Medium Range Air Defence System) yang dibangunkan oleh firma pertahanan negara itu.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat permohonan untuk memperolehi satu bateri Sistem Misil Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD – Medium Range Air Defence) dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Dalam perancangan pembangunan CAP55 TUDM, ia telah menggariskan perolehan sehingga empat buah bateri sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) bermula dariada Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-25) hingga RMK-15 (2035-2040).
Perolehan sistem MERAD itu adalah untuk mengukuhkan sistem pertahanan udara negara yang pada ketika ini hanya bergantung kepada beberapa sistem pertahanan udara jarak dekat seperti Igla, FN6, Rapier, Jernas dan Starstreak.
Sistem MERAD yang sedang cuba dipromosi oleh Korea Selatan kepada Malaysia itu dikenali dengan nama “KM-SAM” atau yang juga dikenali dengan nama Koreanya, “Cheongung” atau Cheolmae II.
Satu ciri yang menarik mengenai sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM adalah ianya merupakan satu-satunya sistem MERAD yang mempunyai sentuhan DNA teknologi dari kedua-dua Blok Barat dan Rusia.
Ia adalah sistem pertahanan udara jarak sederhana Korea Selatan yang dibangunkan oleh firma pertahanan LIG Nex1 Agency for Defense Development (ADD) dengan bantuan teknikal daripada firma Russia, Almaz-Antey yang terkenal dengan pembangunan sistem pertahanan udara S-300,S-400 dan terkini, S-500.
Turut sama membangunkan sistem pertahanan udara itu adalah Hanwha Systems yang membangunkan sistem radarnya dan Hanwha Aerospace pula membekalkan kenderaan pelancarnya.
Sistem KM-SAM dibangunkan oleh Korea Selatan berinspirasikan sistem-sistem pertahanan udara yang telah dibangunkan oleh firma pertahanan terkenal Russia, Almaz-Antey seperti S-300 dan S-400.
Komposisi standard sistem KM-SAM mengandungi sebuah Fire Control Centre (FCC), sebuah Multifunction Radar (MFR) dan beberapa Transporter Erector Launcher (TEL) yang boleh membawa sehingga lapan buah peluru berpandu bagi sistem terbabit.
Radar 3D Pelbagai Fungsi Passive Electronically Scanned Array (PESA) X-Band sistem KM-SAM itu berkemampuan mengesan sasaran sejauh 100km dan track sebanyak 40 sasaran secara serentak.
Sistem pertahanan udara jarak sederhana KM-SAM boleh membedil sasaran udara setinggi 15km (49,000 kaki) pada jarak sejauh 40 km.
Baru-baru ini, Arab Saudi dilaporkan telah menjadi pelanggan kepada sistem pertahanan udara jarak sederhana buatan Korea Selatan, KM-SAM Block II (varian terkini KM-SAM).
Sebagaimana dilaporkan oleh media pertahanan antarabangsa, Arab Saudi dikatakan telah menandatangani kontrak bernilai US$3.2 billion (RM15.25 billion) pada November tahun lepas untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana itu.
Pembelian oleh Arab Saudi mengukuhkan lagi kedudukan Korea Selatan sebagai negara pembekal senjata utama dunia selepas Amerika Syarikat, Russia dan Eropah.
Keputusan Riyadh untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak sederhana buatan Korea Selatan itu hanya diketahui baru-baru ini ketika Arab Saudi menjadi penganjur pameran pertahanan, World Defense Show 2024.
Negara Arab yang kaya dengan sumber minyak itu dilaporkan memperolehi 10 buah sistem pertahanan udara jarak sederhana itu, mengikuti jejak langkah negara jirannya, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut memperolehi sistem yang sama bernilai US$3.5 bilion (RM16.68 bilion) pada Janurai 2022.
Semasa pameran LIMA 2023 di Pulau Langkawi pada Mei tahun lepas, seorang pegawai LIG Nex1 memberitahu Defence Security Asia bahawa syarikatnya telah menerima Request For Information (RFI) daripada Kementerian Pertahanan tentang sistem MERAD “KM-SAM” yang dibangunkan oleh syarikat terbabit.
“Yes, we did receive a Request For Information from Malaysia’s Ministry of Defence on the KM-SAM system sometime last year,” menurut pegawai terbabit.
Permohonan RFI tidak membawa apa-apa makna kerana Kementerian Pertahanan turut mengeluarkan RFI kepada syarikat-syarikat yang lain untuk mengetahui dengan lebih terperinci tentang sesuatu sistem pertahanan itu. — DSA