Russia Tangguh Hantar Sistem Pertahanan Udara S-400 “Triumf” ke India Selama Dua Tahun
Konflik di Ukraine telah menyebabkan penghantaran sistem pertahanan udara S-400 itu terlewat kerana Moscow terpaksa mementingkan keperluan angkatan tenteranya sendiri yang memerlukan lebih banyak sistem S-400 untuk mempertahankan ruang udaranya daripada serangan Ukraine.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia mengumumkan bahawa ia menangguhkan penghantaran dua skuadron terakhir sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” kepada India berikutan permintaan yang meningkat terhadap sistem itu kerana konflik di Ukraine.
Dua skuadron terakhir sistem pertahanan udara S-400 itu akan dihantar ke India pada 2026, berbanding 2024 sebelum ini.
Russia telah menghantar tiga skuadron sistem pertahanan udara S-400 yang awal pada tahun 2023 dan berjanji akan menghantar dua skuadron terakhir pada tahun ini.
Ketiga-tiga skuadron sistem pertahanan udara S-400 yang dihantar oleh Russia itu telah pun beroperasi sepenuhnya di sektor-sektor penting di sempadan India dengan Pakistan dan juga sempadan India dengan China.
Antaranya adalah di sektor Punjab yang bersempadan dengan Pakistan.
Konflik di Ukraine telah menyebabkan penghantaran sistem pertahanan udara S-400 itu terlewat kerana Moscow terpaksa mementingkan keperluan angkatan tenteranya sendiri yang memerlukan lebih banyak sistem S-400 untuk mempertahankan ruang udaranya daripada serangan Ukraine.
“Pihak Russia telah memaklumkan kepada India bahawa ia kini akan menghantar dua skuadron terakhir sistem S-400 itu menjelang Ogos 2026,” menurut sumber-sumber pertahanan memberitahu media India baru-baru ini.
Pada 2018, New Delhi dan Moscow telah menandatangani perjanjian perolehan lima buah skuadron sistem pertahanan udara S-400 bersama-sama 6,000 peluru berpandunya bernilai kira-kira US$5.6 billion (RM25.2 billion), dengan penghantaran sistem itu dipersetujui akan dilakukan pada 2023-2024.
Sistem pertahanan udara itu berkeupayaan menangani sasaran sejauh 400km dan dilaporkan amat berkesan dalam menangani pesawat dan peluru berpandu kruis.
Menurut ketua pegawai eksekutif Rosoboroexport Alexander Mikheyev, sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 adalah lebih baik berbanding sistem-sistem pertahanan udara buatan negara-negara Barat.
Dibandingkan dengan sistem pertahanan udara buatan negara Barat, Mikheyev berkata, sistem pertahanan udara S-400 memiliki kemampuan yang luar biasa untuk menumpaskan peluru berpandu ballistik dan juga peluru-peluru berpandu aerodinamik dalam keadaan konflik yang sebenar.
Menurut beliau, sistem pertahanan udara S-400 boleh menembak jatuh peluru berpandu ballistik daripada 60km jauhnya manakala 400km bagi sasaran-sasaran udara aerodinamik yang lain seperti pesawat pejuang.
Antara aspek unik pada sistem pertahanan udara S-400 adalah peluru berpandu anti-pesawatnya seperti 48N6E3 yang berkemampuan untuk menangani ancaman-ancaman ballistik dan juga sasaran aerodinamik pada pelbagai altitude.
Sistem radar S-400 boleh mengesan dan menjejaki sasaran udara pada jarak 600km.
“Telah dibuktikan dalam pelbagai operasi tentera bahawa sistem-sistem pertahanan moden Barat gagal menangani sasaran ballistik hampir 100 peratus,” kata Mikheyev.
Baru-baru ini, dilaporkan varian terbaru sistem pertahanan udara S-400 akan menggunakan peluru berpandu pemintas kelas 40N6 yang dipertingkatkan keupayaannya dan telah pun menunjukkan keberkesanannya dalam konflik yang berlaku di Ukraine pada ketika ini.
“Sistem pertahanan udara S-400 kini menggunakan peluru berpandu pemintas kelas 40N6 mampu menembak jatuh sasaran pada jarak yang lebih jauh, adalah sistem paling canggih di dunia dan dilengkapi dengan homing head dengan kemampuan yang unik.”
“Sistem pertahanan udara S-400 dengan peluru berpandu kelas 40N6 serta digandingkan dengan pesawat amaran awal A-50U boleh menyerang sasaran termasuk sasaran yang bergerak dalam kelajuan tinggi pada altitud yang rendah,” menurut sumber kepada media pertahanan Russia.
Kementerian Pertahanan Russia bercadang untuk memperolehi lebih daripada 1,000 peluru berpandu pemintas terbarunya, 40N6 pada tahun-tahun akan mendatang ini. — DSA