Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(Video) Apabila bom Perang Dunia Kedua “Tallboy” meletup…

0 813

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selama 75 tahun,  bom Perang Dunia Kedua dikenali dengan nama “Tallboy” atau “Earthquake” (gempa bumi) terbenam 12 meter di dasar sebuah terusan perkapalan Piatowski di bandar pelabuhan Swinoujscie, Poland.

Ia diibaratkan seperti “gergasi” yang sedang nyenyak tidur sebelum pihak berkuasa yang sedang menjalankan kerja-kerja mendalamkan terusan perkapalan itu menemuinya.

“Tallboy” adalah bom Perang Dunia Kedua yang terbesar ditemui di Poland.

Tallboy
Lihat saiz bom “Tallboy.” (sumber internet)

Mengapa ia dipanggil “Tallboy,” ia berkemungkinan kerana bom apabila dalam kedudukan menegak memiliki ketinggian 21 kaki dan lebar sebanyak tiga kaki lapan inci.

Apabila digugurkan daripada ketinggian 20,000 kaki, bom Perang Dunia Kedua ini mampu menyebabkan lubang (crater) sedalam 80 kaki dan seluas 100 meter.

Letupan “Tallboy” boleh menembusi konkrit setebal 16 kaki.

Bom yang sungguh besar itu dicipta oleh jurutera British Bernama, Sir Barnes Wallis dan diperbuat oleh syarikat pertahanan negara itu, Vickers.

Sepanjang Perang Dunia Kedua, British dipercayai telah membina 804 butir “Tallboy” dan berjaya memusnahkan asset-aset serta kemudahan tentera Adolf Hitler.

Rakaman saat-saat bom Perang Dunia Kedua “Tallboy” meletup di terusan perkapalan di Poland. (sumber Twitter)

Bom yang mempunyai berat lebih daripada 5 tan atau lebih tepat 5,400 kilogram itu digugurkan oleh pesawat Tentera Udara Diraja British (RAF) pada hari-hari terakhir perang dunia kedua pada 1945.

Pada hari berkenaan 75 tahun yang lalu, beberapa buah pesawat pengebom RAF daripada jenis Avro Lancaster telah mengugurkan kira-kira 12 butir “Tallboy” terhadap sasarannya iaitu kapal perang Kruiser Tentera Jerman iaitu “Lutzow.”

Operasi pengeboman oleh pesawat-pesawat Lancaster RAF terhadap Lutzow itu berjaya dan kapal kruiser “Lutzow” itu tidak lagi beroperasi selepas penangan “Tallboy.”

Terusan perkapalan Piatowski di Poland itu menjadi tempat persemadian terakhir “Lutzow” bersama-sama anak kapalnya.

Lutzow
Kapal perang Perang Dunia Kedua Jerman, “Lutzow” yang menjadi sasaran bom “Tallboy.” (sumber internet)

Bagaimanapun daripada 12 butir bom “Tallboy” yang digugurkan oleh pesawat RAF pada hari terbabit, sebutir daripadanya gagal meletup dan terbenam di dasar teruskan perkapalan itu.

Selama 75 tahun, “ gergasi” Perang Dunia Kedua itu diibaratkan sedang tidur diselaputi dengan selut dan lumpur di dasar terusan perkapalan yang sibuk itu.

Kira-kira minggu lepas, satu pasukan EOD tentera Poland telah berusaha untuk memusnahkan bom “Tallboy” itu tanpa memerlukan sebarang letupan.

Tall bom
Jawapan mengapa ia dipanggil “Tallboy.” (sumber internet)

Mereka menggunakan teknik “pembakaran” peledak di dalam bom Perang Dunia Kedua itu.

“Tallboy” menggunakan bahan peledak dikenali dengan nama “Torpex”.

Bagaimanapun sebelum pasukan EOD Poland itu sempat mengendalikan operasi pemusnahan “Tallboy”, bom Perang Dunia Kedua itu meletup secara tiba-tiba menyebabkan lonjakan air setinggi puluhan meter di terusan terbabit.

Letupan
Letupan “Tallboy” telah menghasilkan lonjakan air setinggi puluhan meter. (sumber internet)

Tiada sesiapa cedera di dalam kejadian itu kerana pihak berkuasa Poland telah memindahkan semua penduduk yang tinggal di dalam radius 1.5 batu daripada lokasi kedudukan “Tallboy itu.”

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...