Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Guna Bom Bersayap “Lebih Pintar, Lebih Berkuasa” Terhadap Ukraine

Menurut Institut Kajian Peperangan, bom-bom bersayap Russia itu adalah bom yang telah diubahsuai daripada bom-bom yang biasa digunakan oleh Tentera Udara Russia seperti FAB-250, FAB-500 dan FAB-1500.

0 3,838

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia dilapor telah mula menggunakan bom-bom bersayap yang  lebih “pintar” dan mempunyai kuasa ledakan lebih tinggi bagi membolehkan ia memusnahkan kubu-kubu pertahanan Ukraine yang terletak lebih dalam di bawah tanah.

Bom-bom bersayap itu dipanggil Russia, “Unifitsirovannyi Modul Planirovaniya i Korrektsii” (UMPK).

Menurut Institut Kajian Peperangan (Institute for the Study of War), bom-bom bersayap itu adalah bom yang telah diubahsuai daripada bom-bom yang biasa digunakan oleh Tentera Udara Russia seperti FAB-250, FAB-500 dan FAB-1500 dengan melengkapkannya dengan kit peluncuran dan pembetulan UMPK.

Bom-bom bersayap itu telah diubahsuai oleh pihak tentera Russia yang melengkapkannya dengan “sayap” dan sistem panduan yang baru bagi membolehkan ia membedil sasaran dengan lebih tepat berbanding sebelum ini.

Menurut institut terbabit, bom-bom bersayap itu telah dilengkapi dengan sistem panduan laser dan juga sistem panduan satelit untuk meningkatkan ketepatan bedilannya sehingga ke jarak 16 kaki berbanding 160 kaki sebelum ini.

Bersayap
Bom bersayap Russia yang gagal meledak

 

Kesemua bom bersayap yang lebih pintar itu boleh digugurkan oleh pesawat-pesawat pejuang Su-30, Su-34 dan Su-35.

“Bom-bom bersayap ini boleh ‘terbang’ sejauh hampir 200km sebaik sahaja ia digugurkan oleh pesawat-pesawat pejuang ke sasaran yang mahu dibedilnya,” kata institut itu sambil menambah, dengan jarak sebegitu, pesawat terbabit dapat mengelak daripada dibedil oleh sistem pertahanan udara Ukraine.

Institut itu memberikan contoh bagaimana bom bersayap yang menggunakan bom FAB-250 dengan berat 100kg boleh menyebabkan kemusnahkan pada radius 400 kaki manakala bagi bom FAB-500 pula dengan berat 500kg, radius kemusnahannya adalah 800 kaki.

Bagi bom FAB-1500 pula dengan berat lebih 1,500kg pula, radius kemusnahan akibat bedilannya adalah 1,600 kaki.

“Dengan bom FAB-1500, ia boleh menyebabkan kemusnahan terhadap kubu-kubu bawah tanah sedalam kira-kira 20 meter daripada permukaan tanah,”kata penganalisis sambil menambah bahawa adalah amat sukar bagi sistem pertahanan udara Ukraine untuk menangani bom-bom bersayap itu.

Bersayap
Bom FAB-1500 sebelum dilengkapi dengan kit UMPK.

 

Sistem-sistem pertahanan udara sebagaimana dioperasikan oleh tentera Ukraine tidak dibangunkan untuk menangani bom-bom bersayap yang asalnya adalah bom-bom “bodoh” tanpa sebarang sistem panduan dan dibawa oleh pesawat pejuang Russia.

“Sistem pertahanan udara Ukraine gagal memintas bom-bom bersayap yang digugurkan oleh pesawat pejuang Russia. Ini adalah suatu bentuk ancaman yang baru kepada Ukraine, bom-bom seberat 500 kilogram yang boleh ‘terbang’ untuk jarak tertentu selepas ia dilengkapi dengan sayap-sayap,” jurucakap Pemerintahan Tentera Udara Ukraine Yuriy Inhat dilaporkan berkata sebelum ini.

Bedilan bom-bom bersayap berkekuatan tinggi itu telah meninggalkan kesan psikologi yang teruk kepada penduduk kerana kemusnahan besar dialami oleh penduduk akibat dibedil oleh bom-bom jenis itu.

Russia dikatakan semakin kerap menggunakan bom-bom bersayap yang lebih pintar terhadap bandar-bandar Ukraine serta kedudukan anggota tenteranya.

Pada Oktober lalu, pesawat-pesawat pejuang Russia telah menggugurkan kira-kira 40 buah bom-bom bersayap itu dalam satu malam terhadap sasaran tentera Ukraine yang berada di wilayah Kherson.

Bersayap
Kesan ledakan bom bersayap Russia

 

“Dalam satu malam pada 2 Oktober,pesawat-pesawat pejuang Russia telah menggugurkan 40 buah bom bersayap pada satu Oblast sahaja,” katanya dan menambah Russia telah meningkatkan serangan udara terhadap Ukraine sebanyak 36 peratus sejak akhir-akhir ini, sekaligus menyaksikan peningkatan penggunaan bom-bom bersayap yang berkekuatan lebih tinggi itu.

Terdapat juga laporan menyatakan bahawa pesawat-pesawat pejuang Russia telah menggugurkan lebih daripada 80 buah bom bersayap dengan panduan UMPK ke atas sasaran di wilayah Kherson dalam satu-satu malam.

Menggunaan taktik udara yang baru, pesawat-pesawat pejuang Russia itu juga didapati semakin sukar ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara. — DSA

KAAN

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...