Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Lengkapi Su-57 Dengan Peluru Berpandu Kruis Baru “KRBB”, Jarak Bedilan 600km

Dinamakan “KRBB”, peluru berpandu kruis jarak jauh itu mampu membedil sasaran sejauh 600km, menyamai peluru-peluru berpandu kruis lancaran udara yang dibawa oleh pesawat-pesawat pengebom strategik Russia, Tu-95 dan Tu-160.

0 4,644

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Untuk menjadikan pesawat pejuang generasi kelima Su-57 miliknya “lebih berbahaya”, Russia telah melengkapkannya dengan Air Launched Cruise Missile (ALCM) baru yang berkeupayaan membedil sasaran lebih jauh.

Dinamakan “KRBB”, peluru berpandu kruis jarak jauh itu mampu membedil sasaran sejauh 600km.

Menurut agensi berita Russia, RIA Novosti, jarak yang mampu dicapai oleh peluru berpandu kruis KRBB dibawa oleh pesawat pejuang Su-57 itu menyamai peluru-peluru berpandu lancaran udara yang dibawa oleh pesawat-pesawat pengebom strategik Russia, Tu-95 dan Tu-160.

“Walaupun saiz peluru berpandu kruis KRBB secara komparatifnya adalah lebih kecil,  tetapi jarak bedilannya adalah menyamai dengan kemampuan peluru-peluru berpandu kruis yang dibawa oleh pesawat-pesawat pengebom Tu-95 dan Tu-160.”

Menurut agensi berita itu lagi, saiznya yang lebih kecil itu disebabkan rekabentuknya yang lebih aerodinamik bagi membolehkan peluru berpandu kruis “KRBB” itu membedil sasaran di darat dan laut.

Su-57

Peluru berpandu kruis “KRBB” merupakan antara sistem persenjataan berbahaya yang melengkapkan pesawat pejuang Su-57.

Selari dengan usaha Tentera Udara Russia memperkenalkan lebih banyak pesawat pejuang Su-57 ke dalam unit-unitnya, ia juga bertindak memperkenalkan lebih banyak sistem persenjataan kepada pesawat pejuang terkininya itu.

Pesawat pejuang generasi kelima Russia itu berkemampuan menempatkan lapan peluru berpandu udara-ke-udara terdiri daripada enam peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh, R-37M.

Dengan kemampuan untuk membedil sasaran sejauh 400km, peluru berpandu udara-ke-udara R-37M itu mengatasi keupayaan yang dimiliki oleh peluru-peluru berpandu udara-ke-udara yang dibawa oleh F-22, F-35 Amerika Syarikat dan J-20 China.

Peluru berpandu udara-ke-udara R-37 bukan sahaja boleh membedil sasaran jauh, tetapi kelajuannya adalah lebih tinggi pada Mach 6 manakala peledaknya juga adalah lebih besar iaitu 61kg untuk kuasa kemusnahan yang lebih tinggi.

R.37
Peluru berpandu udara-ke-udara R-37M Russia

 

Dengan jarak operasi peluru berpandu udara-ke-udara yang amat jauh, pesawat pejuang Su-57 itu mampu membedil sasaran daripada jarak yang amat ekstrim iaitu 400km, mengancam pelbagai pesawat musuh daripada pesawat pejuang, pengebom, pesawat amaran awal dan sasaran lain.

Bagi memusnahkan sasaran-sasaran di darat pula, peluru berpandu udara-ke-darat utama dibawa oleh pesawat Su-57 Russia adalah KH-59Mk2 yang boleh memusnahkan kubu-kubu tentera diperkukuhkan daripada jarak sehingga 300km.

Peluru berpandu KH-59Mk2 itu dilengkapkan dengan kepala peledak penetrator seberat 320kg, malah usaha sedang dijalankan oleh pihak Russia untuk melengkapkannya dengan kepala peledak yang lebih berkuasa dan mampu membedil kawasan yang lebih luas.

Disebabkan kelajuan yang subsonic, peluru berpandu udara-ke-darat KH-59Mk2 mampu menjelajah lebih jauh walaupun saiznya yang lebih kecil.

Su-57
Peluru berpandu serangan darat “KH-59Mk2”

 

Pihak tentera udara Russia menguji peluru berpandu udara-ke-darat KH-59Mk2 itu di medan-medan peperangan seperti Ukraine dan Syria.

Selain itu, pesawat pejuang Su-57 juga dilengkapi dengan peluru berpandu anti-radiasi Kh-58UShKE untuk memusnahkan pusat-pusat komunikasi dan radar musuh serta sistem pertahanan udara mereka.

Pesawat-pesawat generasi kelima Russia itu akan dilengkapkan dengan peluru berpandu kruis bersaiz kecil,  KH-38ME (jarak 400km) dan juga peluru berpandu hypersonik Kh-47M2 “Kinzhal” yang mampu membedil sasaran sejauh 2,000km. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...