Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Menteri Pertahanan Singapura Jelaskan Tiada Niat Jahat Daripada Helikopter Malaysia”

Menteri Pertahanan Singapura itu berkata: "Penilaian kami adalah bahawa tidak ada niat jahat yang timbul dari insiden ini. Helikopter itu terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru dan menuju ke Pengerang, di sebelah tenggara Johor.

0 13,426

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Menteri Pertahanan Singapura menyatakan bahawa sebuah helikopter awam Malaysia tidak mempunyai sebarang “niat jahat” apabila ia memasuki ruang udara republik itu tanpa kebenaran pada 9 Ogos lalu.

Dr Ng Eng Hen berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan daripada parlimen republik itu semalam.

Memberikan butiran mengenai insiden di mana dua buah pesawat pejuang F-16 Singapura telah dikerah (scrambled) untuk menangani  “pencerobohan” helikopter itu, beliau menyatakan helikopter tersebut telah diberi kontrak untuk mengambil gambar platform minyak yang berdaftar di Malaysia.

Platform tersebut sedang diangkut dari Pasir Gudang di Johor Bahru ke Miri di Sarawak.

Ahli Parlimen Tanjong Pagar GRC Joan Pereira, telah bertanya sama ada keselamatan mana-mana pesawat telah terjejas pada bila-bila masa berikutan insiden ini, dan apa langkah-langkah yang akan dilaksanakan untuk mencegah kejadian serupa berlaku di masa hadapan.

Singapura

Menteri Pertahanan Singapura itu berkata: “Penilaian kami adalah bahawa tidak ada niat jahat yang timbul dari insiden ini.”

“Helikopter itu terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru dan menuju ke Pengerang, di sebelah tenggara Johor.

“Semasa penerbangannya, helikopter itu melalui Zon Kawalan Changi (Changi Control Zone) dan kemudian memasuki ruang udara wilayah Singapura tanpa notifikasi terlebih dahulu. Pusat kawalan trafik udara Singapura tidak menerima sebarang pelan penerbangan,” katanya.

Oleh kerana helikopter tersebut memasuki ruang udara wilayah Singapura pada pukul 12.37 petang “tanpa diumumkan,” maka dua buah pesawat pejuang tentera udara republik itu telah dikerah.

Ia adalah satu tindak balas yang Menteri Pertahanan Singapura itu katakan sebagai “konsisten dengan prosedur operasi standard kami untuk (menangani) pesawat yang tidak dikenalpasti dalam ruang udara kami, yang mungkin membawa ancaman berpotensi.”

“Juruterbang helikopter (Malaysia) itu telah diperintahkan untuk mengelak daripada memasuki ruang udara wilayah Singapura dan beroperasi ke timur di luar ruang udara wilayah Singapura.”

F-16
Pesawat F-16 Singapura

 

Pada pukul 1.03 petang, helikopter itu meninggalkan ruang udara wilayah Singapura.

Selepas memastikan bahawa tidak ada ancaman keselamatan lagi, misi dua buah pesawat F-16 Singapura itu kemudiannya dibatalkan pada pukul 2.05 petang, tambah Dr. Ng.

Beliau berkata bahawa walaupun tidak ada “kesan keselamatan yang segera” terhadap trafik udara awam ketika helikopter awam Malaysia itu berada di Zon Kawalan Changi, ruang udara di sekitar Lapangan Terbang Changi terpaksa ditutup.

Akibatnya, sejumlah 36 penerbangan yang tiba dan lapan penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Changi telah mengalami kelewatan.

 Tentera Udara Republik Singapura telah mengerah dua buah pesawat pejuang F-16 miliknya sebagai tindak balas terhadap kehadiran sebuah helikopter awam Malaysaia dipercayai telah memasuki ruang negara republik hari ini.

Menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan Singapura dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAS) republik itu, helikopter asing itu adalah milik awam dan milik sebuah syarikat.

“Pemeriksaan awam menunjukkan bahawa helikopter itu adalah jenis awam dan berdaftar kepada syarikat asing.”

“Selepas memastikan keselamatan (Singapura) tidak dikompromi, pesawat-pesawat F-16 itu telah (kembali ke pangkalan),” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa pesawat-pesawat pejuang itu dikerah pada 12.40 tengah hari tadi.

Helikopter
Helikopter AS50

 

Operasi di Lapangan Terbang Changi telah terjejas selama 40 minit akibat di antara 12.50 tengah hari hingga 1.28 petang, menurut pihak berkuasa.

Pesawat-pesawat F-16 Tentera Udara Republik Singapura itu dikerah daripada Pangkalan Udara Tengah dan helikopter awam Malaysia yang didakwa memasuki ruang udara republik itu adalah daripada jenis AS350 atau “Squirrel.”

Singapura menyambut Hari Kemerdekaannya ke-58 hari ini dan sambutan untuk meraikannya diadakan secara besar-besaran termasuk perarakan aset-aset tentera serta penerbangan pesawat pejuang. 

Kejadian yang sama telah berlaku pada 11 Sept 2021 apabila Singapura mengerahkan (scrambled) dua buah pesawat pejuang F-16 dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara AIM-9 dan AIM-120 selepas sebuah helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan telah terbang berhampiran ruang udara Pulau Tekong, republik itu.

Bukit Aman dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa terdapat penerbangan helikopter milik mereka di ruang udara berhampiran Singapura.

“Penerbangan helikopter milik PDRM di ruang udara berhampiran Singapura hari ini adalah bagi tujuan penugasan rasmi.

“Sepanjang penugasan berlangsung sehingga kini, PDRM tidak dimaklumkan oleh pihak berkuasa ruang udara Singapura mengenai sebarang insiden penerbangan helikopter tersebut telah memasuki ruang udara Singapura,” kata kenyataan itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...