Russia Letak Tayar Atas Pesawat Pengebom, Lindunginya Dari Serangan Dron Ukraine
Pakar-pakar pertahanan antarabangsa mempersoalkan sama ada tindakan meletakkan tayar-tayar di atas pesawat Russia itu merupakan langkah yang berkesan untuk melindunginya daripada sebarang kerosakan berpunca daripada serangan dron Ukraine.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Dalam usaha untuk memastikan pesawat-pesawat tenteranya tidak menjadi mangsa kepada serangan dron Ukraine, pihak tentera Russia telah memikirkan kaedah yang unik untuk memastikan pesawat-pesawatnya itu selamat daripada serangan dron.
Kaedah unik itu menyaksikan tentera Russia menutup beberapa bahagian pesawat pengebomnya Tu-95 yang berada di Pangkalan Udara Engels-2 di Wilayah Saratov dengan tayar-tayar, sebagaimana yang dapat dilihat daripada imej-imej satelit.
Russia berharap tayar-tayar yang diletakkan di beberapa bahagian pesawat dapat menyerap kesan letupan dron-dron itu.
Pangkalan Udara Engels-2 di Wilayah Saratov itu terletak kira-kira 700km daripada sempadan Russia-Ukraine.
Pada Disember tahun lepas, pangkalan udara yang menempatkan pesawat-pesawat pengebom Russia diserang oleh dron-dron Ukraine, menyebabkan dua buah pesawat pengebom musnah manakala dalam serangan kedua dalam bulan yang sama menyebabkan tiga anggota tentera terbunuh.
Selepas daripada serangan dron-dron berani mati itu, Moscow bertindak memindahkan pesawatnya yang berada di Pangkalan Udara Engels-2 itu ke pangkalan udara yang lain.
Selepas beberapa bulan selamat daripada serangan dron berani mati Ukraine, pangkalan udara di Wilayah Saratov menjadi sasaran Ukraine sekali lagi.
Beberapa hari lepas, pangkalan udara tentera Russia di bandar Pskov turut diserang oleh dron-dron Ukraine, menyebabkan dua buah pesawat pengangkut Ilyushin IL-76 musnah manakala dua lagi buah mengalami kerosakan.

Kementerian Pertahanan Russia menyatakan serangan dron Ukraine terhadap pangkalan udara di bandar Pskov itu menyebabkan empat buah pesawat rosak.
Pakar-pakar pertahanan antarabangsa mempersoalkan sama ada tindakan meletakkan tayar-tayar di atas pesawat Russia itu merupakan langkah yang berkesan untuk melindunginya daripada sebarang kerosakan berpunca daripada serangan dron Ukraine.
Comments are closed.