Syarikat Sepanyol, Navantia Tawar Kapal Selam “S80 Isaac Peral” Pada Filipina
Setakat ini, Filipina menerima tawaran daripada tiga syarikat untuk membekalkannya kapal selam konvensional diesel-elektrik iaitu Navantia yang menawarkan kapal selam kelas-S80 Isaac Peral, Naval Group dengan kapal selam Scorpene dan syarikat DSME daripada Korea Selatan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat berkaitan kerajaan Sepanyol, Navantia telah menawarkan dua buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral kepada Tentera Laut Filipina dianggarkan bernilai US$1.7 bilion (RM7.65 bilion).
Tawaran itu bukan sahaja meliputi perolehan dua buah kapal selam tetapi juga dengan pembinaan pangkalan kapal selam itu bersama-sama infrastruktur dan lojistiknya di bandar Ormoc yang terletak di wilayah Leyte, Filipina.
Menurut pengurus komersial bagi syarikat Sepanyol itu Guilermo Zamarippa, tawaran bekalan dua buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral kepada Filipina itu turut meliputi aspek latihan menyeluruh untuk krew-krew kapal selam negara Asia Tenggara itu, pemindahan teknologi dan penyelenggaraan.

“Syarikat Navantia menawarkan penyelesaian untuk menyokong angkatan kapal selam Filipina dengan konsep kapal selam yang revolusi, interoperabiliti serta keperluan latihan dan pentadbiran,” kata Zamarippa.
Tentera Laut Sepanyol mengoperasikan empat buah kapal selam kelas-S80 Isaac Peral.
Kapal selam kelas-S80 Isaac Peral mempunyai panjang 81 meter dan berkemampuan melancarkan serangan daripada laut ke darat dan melaksanakan pelbagai misi serta operasi termasuk perisikan, aktiviti pemantauan serta operasi anti-permukaan dan anti-kapal selam.
Kapal selam konvensional dibangunkan oleh Navantia itu hanya boleh dioperasikan oleh 32 orang krew.
Ia merupakan aset bawah permukaan air konvensional yang berkemampuan melaksanakan misi-misi jarak jauh kerana ia dilengkapi dengan kemudahan Air Independent Propulsion (AIP), sekaligus membolehkan ia berada di bawah permukaan air selama tiga minggu secara berterusan.
Selain itu kapal selam kelas-S80 Isaac Peral yang ditawarkan kepada Filipina itu berkemampuan melancarkan peluru berpandu Harpoon serta juga peluru berpandu kruis “Tomahawk” yang digunakan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat untuk melancarkan sasaran darat.
Mengenai pemilihan bandar Ormoc di wilayah Leyte oleh syarikatnya sebagai lokasi yang paling sesuai untuk menempatkan kapal selam S80 Isaac Peral itu, Zamarippa berkata, antara sebabnya adalah kedudukan gerografinya yang terlindung daripada bencana alam dan keadaan cuaca yang melampau.
Comments are closed.