F-35B VSTOL Beri Tentera Udara S’pura Kemampuan Beroperasi Dari “Mana-Mana Ceruk”
Penutupan Pangkalan Udara Paya Lebar pada 2030, meninggalkan Singapura dengan hanya tiga pangkalan udara iaitu Tengah, Sembawang dan Changi – tetapi hanya dua yang boleh menempat dan mengoperasikan pesawat kombat.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menjelang tahun 2030 iaitu kira-kira tujuh tahun daripada sekarang, Tentera Udara Singapura akan kehilangan salah satu pangkalan udara terpentingnya iaitu Pangkalan Udara Paya Lebar.
Pada ketika ini, Pangkalan Udara Paya Lebar menempatkan beberapa skuadron pesawat milik Tentera Udara Singapura seperti C-130 Hercules dan F-15SG “Strike Eagles”.
Penutupan Pangkalan Udara Paya Lebar pada 2030, meninggalkan Singapura dengan hanya tiga pangkalan udara iaitu Tengah, Sembawang dan Changi – tetapi hanya dua yang boleh menempat dan mengoperasikan pesawat kombat.
Sementara itu,Pangkalan Udara Paya Lebar akan dibangunkan semula untuk menjadi sebuah penempatan baru dengan 150,000 penduduk.
Bagi sebuah negara yang kecil dengan keluasan tanah yang terhad, ia sememangnya adalah tugas yang sukar untuk mengasingkan sebuah kawasan yang luas untuk aktiviti ketenteraan termasuk pangkalan udara bagi operasi pesawat kombat.
Sebab itulah pada tahun 2019 Singapura memilih untuk memperolehi empat buah varian pesawat F-35B dan beberapa bulan lepas menambah lapan buah lagi F-35B (Vertical Short Take-Off and Landing – VSTOL), varian pesawat F-35 yang boleh berlepas daripada landasan yang amat pendek dan mendarat secara vertikal.
Varian pesawat pejuang F-35B VSTOL buatan syarikat Lockheed Martin yang lengkap dengan segala bom-bom,peluru berpandu dan minyak yang penuh hanya memerlukan landasan sepanjang 200 meter sahaja untuk berlepas, paling pendek bagi sebuah pesawat pejuang moden.
Varian pesawat F-35B VSTOL mula dibangunkan untuk memenuhi keperluan Kor Marin Amerika Syarikat bagi mengoperasi pesawat pejuang yang boleh berlepas dan mendarat daripada Amphibious Assault Ship, membolehkan ia beroperasi di serata pelusuk dunia.
Kemampuan varian pesawat pejuang F-35B VSTOL yang bakal dimiliki oleh republik itu bermula pada tahun 2026 sudah semestinya akan mentransformasi Tentera Udara Singapura, di mana akan mengurangkan kebergantungannya kepada landasan-landasan kapalterbang konvensional yang panjang untuk meluncurkan pesawat-pesawat pejuangnya.
Pesawat-pesawat F-35B VSTOL yang diperolehi oleh Singapura itu bertujuan menggantikan F-16 miliknya yang pada ketika ini sedang dinaiktaraf dengan radar yang baru, datalink, mission computer dan persenjataan bagi membolehkan ia terus beroperasi sehingga pertengahan tahun 2030-an.
Ketika krisis atau waktu-waktu kecemasan, Singapura boleh mengoperasikan pesawat-pesawat F-35B miliknya daripada pangkalan udara yang kecil atau kemudahan-kemudahan sementara yang berkemungkinan “bertaburan” (scattered) di lokasi-lokasi rahsia di republik itu.
Kemudahan-kemudahan sementara bagi mengoperasikan pesawat F-35B VSTOL itu boleh diaturgerak dengan cepat ke mana-mana lokasi, sekaligus menyukarkan lagi musuh untuk mensasarkannya dengan apa-apa serangan.
Ketika peperangan, sebarang kerosakan/kemusnahan terhadap pangkalan udara yang dilengkapi dengan landasan yang panjang boleh “menangguhkan” operasi tentera udara buat beberapa jam (sementara landasan itu diperbaiki).
“Penangguhan” selama beberapa jam operasi tentera udara itu boleh menyebabkan angkatan tentera berhadapan dengan kekalahan dalam peperangan, terutamanya bagi Singapura yang amat bergantung kepada kekuatan tentera udaranya.
Pada ketika ini, selain landasan di pangkalan-pangkalan udara, Singapura juga menjadikan beberapa jalanraya seperti Jalan Lim Chu Kang sepanjang 2.5km sebagai landasan sementara untuk perlepasan dan pendaratan pesawat-pesawat pejuang.
Dengan F-35B, tentera udara republik itu boleh beroperasi daripada mana-mana lokasi di Singapura dengan jalanraya yang panjangnya lebih daripada 200 meter.
Malah dengan jalanraya sepanjang 200 meter, pesawat-pesawat F-35B VSTOL Singapura itu boleh beroperasi daripada tengah-tengah pusat perniagaan (central business district) republik itu.
Ketika latihan udara multinasional Pitch Black di Australia tahun lepas,laporan media Singapura menyatakan bahawa tentera udara republik itu telah menghantar pasukannya untuk berinteraksi dengan tentera Amerika Syarikat yang turut menghantar pesawat F-35B ke latihan multinasional itu.
Ia sekurang-kurangnya membolehkan Tentera Udara Singapura menimba pengalaman dan pengetahuan daripada rakan sejawatnya Amerika Syarikat tentang operasi dan pengendalian pesawat F-35B VSTOL itu.
Kor Marin Amerika Syarikat sendiri sedang berlatih untuk mengoperasikan pesawat F-35B VSTOL daripada lokasi dan kemudahan yang jauh dan sederhana.
Sebagai contohnya, ia mengoperasi enam daripada 12 buah F-35B VSTOL di sebuah pangkalan pedalaman di utara Australia, yang terletak kira-kira 1,000 batu daripada pangkalan udara utama. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com